- Iklan -
Berita

Positif Covid-19 asimptomatik, penjara Singapura sediakan rawatan buat Nagaenthran

SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula selepas pulih.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.

Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah disahkan positif Covid-19 pada 9 November 2021, dan akan menerima rawatan perubatan.

Nagaentran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan pada Selasa untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November 2021 menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.

“Beliau dibawa ke mahkamah pada tengah hari 9 November 2021. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaentran telah diasingkan,” kata SPS di laman webnya.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.

SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas beliau pulih.

“Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin Covid-19,” kata SPS.

Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif Covid-19.

Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, telah ditutup untuk mengelakkan penularan virus itu.

SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang telah disahkan positif.

Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga, dan SPS berkata ia mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal.

Sehingga 7 November, 97% banduan yang layak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 90% selesai menerima kedua-dua dos.

Sementara itu, 99.5% kakitangan penjara sudah lengkap divaksin, kata SPS.

SPS berkata ia akan meneruskan langkah-langkah pengurusan selamatnya untuk menjaga kesihatan dan keselamatan banduan, kakitangan, pelawat dan rakan kongsi.

“Kakitangan dan rakan kongsi yang memasuki kemudahan penjara mesti menjalani ART dua kali seminggu, manakala kakitangan luar yang memasuki penjara secara ad-hoc dikehendaki menjalani ART sebelum setiap kemasukan ke dalam penjara,” katanya.