Friday, December 3, 2021

Nazri gesa Putrajaya perjuang nyawa Nagaenthran namun mesti patuhi moratorium

Menurut Nazri, kebiasaannya mereka yang dihukum gantung sampai mati adalah terdiri daripada orang susah dan tidak berpelajaran tinggi bukannya dalang sindiket.

Other News

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz hari ini menggesa Putrajaya untuk mematuhi moratorium hukuman gantung selain turut memberi amaran kerajaan juga akan dituduh berat sebelah ketika merayu untuk pelaksanaan hukuman mati tidak dijalankan ke atas Nagaenthran K Dharmalingam.

Nazri dalam perbahasan di Dewan Rakyat, berkata kerajaan sudah mengumumkan moratorium hukuman mati pada 2018 namun baru-baru ini dilihat menarik balik keputusan tersebut pada 2020.

“Macam baru-baru ini seorang janda dihukum mati, walaupun 2018 dulu kita kata moratorium, tetapi pada 2020 kita tarik balik.

“Apa ini, sekejap setuju, kemudian tarik balik. Kita tak mahu persalahkan orang lain. Kita ahli Parlimen ada kuasa untuk memastikan supaya hukuman mati dalam soal dadah dihentikan,” katanya.

Nazri merujuk kes seorang ibu tunggal yang memiliki sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati pada Oktober lalu kerana memiliki 113.9g methamphetamine pada Januari 2018.

Menurut Nazri, kebiasaannya mangsa hukuman mati adalah terdiri daripada orang kampung, susah dan tidak berpelajaran tinggi namun golongan itu “tidak mendapat apa-apa keuntungan, hanya kerana mereka jadi keldai dadah mereka digantung.”

“Selalunya mereka yang digantung, bukannya drug lord (dalang utama) sindiket dadah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nazri mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana baru-baru ini mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Singapura untuk merayu bagi pihak Nagaenthran yang sepatutnya menjalani hukuman mati hari ini atas kesalahan dadah.

“Walau kita tidak ada moral high ground untuk merayu kerana warga kita juga digantung, tetapi dia menebalkan muka menulis surat.

“Walaupun dia tahu orang akan berkata balik, ‘you dalam negara pun you gantung orang you apa dia’, seolah memberi makna dadah ini kalau di luar negara, okey, tapi dalam negara kita gantung,” katanya lagi.

Nagaenthran K Dharmalingam yang dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Changi hari ini namun ditangguhkan bagi memberi laluan pendengaran rayuan terakhir pembelaannya dan diagnosis Covid-19 yang disahkan semalam.

Nagaenthran ditahan pada April 2009 dan dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membawa masuk 42.72g heroin ke Singapura yang dikenali sebagai negara yang memiliki hukuman keras terhadap kesalahan dadah.

Kes individu kurang upaya (OKU) mental itu telah menarik perhatian antarabangsa, malahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yakaob, sekumpulan pakar PBB dan bilionair Britain Richard Branson menjadi antara mereka yang merayu supaya Singapura meringankan hukuman mati yang dikenakan terhadap Nagaenthran.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis juga turut mengadakan protes dan bantahan sejak dua minggu lalu bagi mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati terhadap OKU mental.

Kemarahan berhubung pelaksanaan hukuman itu berpunca daripada diagnosis keupayaan mentalnya, yang mengesahkan antara lain memiliki IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi seseorang itu diisytiharkan sebagai individu yang tidak memiliki keupayaan intelek.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles