- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang benar calon PRN berkempen di media rasmi kerajaan

Ruang di media rasmi kerajaan itu juga bakal diberikan kepada calon-calon parti pembangkang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Parti pembangkang juga bakal diberikan ruang jika media rasmi kerajaan digunakan untuk kempen pilihan raya.
Parti pembangkang juga bakal diberikan ruang jika media rasmi kerajaan digunakan untuk kempen pilihan raya.

Kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata ini kerana kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu untuk berkempen dalam suasana norma baharu.

“Saya faham masalah mereka dan saya terima hakikat bahawa ada orang cakap ia sedikit ‘handicap’ (sulit) terutama kepada calon baharu.

“Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baharu (berkempen), tetapi masih (ada keperluan) memberi peluang kepada mereka muncul di rangkaian televisyen.

“Oleh itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memungkinkan ruang sama rata diberikan kepada semua calon. Saya akan membuat pengumuman mengenainya dalam sehari dua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi “5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration” di Telekom Malaysia Titiwangsa hari ini.

Annuar mengulas permintaan Pakatan Harapan (PH) supaya setiap parti bertanding di PRN Melaka, diberi ruang atau slot dalam media rasmi kerajaan untuk berkempen.

Isnin lepas Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH memohon agar setiap parti diberikan tempoh sekurang-kurangnya 30 minit untuk berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV pada setiap malam serta 60 minit berceramah di Melaka FM dan Bernama Radio pada setiap hari.

Ini ekoran ketetapan prosedur operasi standard Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan calon dan parti dalam PRN Melaka mengadakan aktiviti ceramah, berhimpun, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Sebaliknya calon disaran menggunakan saluran televisyen, akhbar serta media sosial selain boleh menyebarkan risalah atau menggunakan lori dan van bergerak untuk menyebarkan manifesto dan berkempen.