Wednesday, December 1, 2021

Indonesia, Malaysia setuju perkenal koridor perjalanan secara bertahap

Ia akan dimulakan dengan bandar-bandar utama di kedua-dua negara dan pulau percutian Bali.

Other News

Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane, memandangkan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata menteri-menteri berkaitan akan memperhalusi inisiatif itu supaya sempadan kedua-dua negara dapat dibuka membabitkan laluan Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Bali-Kuala Lumpur.

“Jika dipercepatkan urusan untuk butirannya, pernyataan bersama akan dibuat untuk mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau yang bermula pada Selasa.

Mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, beliau memberi jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Ismail berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diluluskan pindaannya tahun lepas, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat asing termasuk dari Indonesia.

Perdana menteri turut memberi jaminan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara kementerian sumber manusia Malaysia dan kementerian tenaga kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata warga Indonesia boleh memanfaatkan Program Rekalibrasi atau pemutihan yang dilanjutkan oleh kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini dengan sama ada pulang secara sukarela atau bekerja secara sah.

Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan juga akan dipertingkat melalui penyenaraian bersama ke Unesco beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama, kata perdana menteri.

Penyenaraian bersama di masa hadapan dapat mengelakkan hubungan daripada terjejas kerana Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dalam pelbagai perkara termasuk adat, tradisi dan warisan kebudayaan.

Pada tahun 2020, kedua-dua negara telah membuat penyenaraian bersama ke Unesco bagi pantun secara “multi-national nomination.”

Berhubung dengan pembatasan sempadan maritim kedua-dua negara, Ismail memberi jaminan Malaysia terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim itu.

“Ada empat isu yang berkaitan, dua isu telah selesai dan boleh ditandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ismail dan Jokowi bersependapat isu Myanmar perlu ditangani dengan baik kerana kesan daripada masalah di negara itu memberi impak besar kepada Malaysia daripada segi kedatangan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia yang sekarang berjumlah lebih 200,000 pelarian.

Di akhir sidang media itu Ismail menjemput Jokowi untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia. Jokowi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak dua kali sejak memegang jawatan presiden negara itu.

Sepanjang lawatan itu, Ismail diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles