- Iklan -
Berita

Hanya Jho Low boleh sahkan arahan datang dari Najib, kata bekas CEO 1MDB

Mohd Hazem mendedahkan perkara tersebut selepas disoal balas peguam yang mewakili Najib Razak pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem. Gambar: Bernama
Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa hanya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mengesahkan bahawa arahan bagaimana untuk mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya datang daripada Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman mendedahkan perkara ini selepas disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas perdana menteri itu pada perbicaraan kes menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Aizuddin menyoal saksi berumur 49 tahun itu mengenai salah urus 1MDB yang telah menyebabkan syarikat pembangunan strategik itu menanggung banyak pinjaman dan liabiliti tidak perlu, yang dipersetujui Hazem.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Aizuddin bahawa terdapat dana 1MDB yang diseleweng dan disalurkan kepada pelbagai organisasi untuk manfaat Jho Low.

Aizuddin: Sekarang anda katakan dalam pelbagai bahagian penyataan saksi dan juga keterangan di mahkamah bahawa telah secara konsisten menerima arahan daripada Jho Low, dari tajuk perbincangan dan juga secara lisan?

Hazem: Ya.

Aizuddin: Anda juga bersetuju dengan saya bahawa hanya Jho Low boleh mengesahkan kepada mahkamah ini bahawa kesemua arahan ini yang diberikan kepada beliau adalah dari Najib?

Hazem: Ya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Jho Low kini dalam buruan dan telah melarikan diri dari negara ini.

Terdahulu, seorang lagi peguam Najib iaitu Mardhiyah Siraj mencadangkan kepada saksi itu bahawa beliau telah membuat “perjanjian” dengan pendakwaan untuk mengaitkan bekas perdana menteri itu supaya terlepas daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mardhiyah: Nampaknya anda hanya ingat perkara yang boleh mengaitkan Najib, termasuk akses langsung yang kononnya dimiliki Jho Low kepada Najib. Apabila perkara itu melibatkan anda secara langsung, anda boleh lupa pula.

Hazem: Saya tidak bersetuju.

Mardhiyah: Semalam anda setuju bahawa 1MDB dikendalikan seperti kedai kopi, yang bermakna anda telah banyak melanggar undang-undang syarikat. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong kepada mahkamah. Saya katakan kepada anda bahawa anda berbohong untuk mengaitkan Najib dalam usaha melepaskan diri daripada pertuduhan.

Hazem menafikan semua cadangan yang dikemukakan oleh peguam itu.

Pembelaan mengakhiri pemeriksaan balas terhadap Mohd Hazem yang berlangsung selama 23 hari dan saksi itu telah memberi keterangan sejak 14 September 2020.

Timbalan pendakwa raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pendakwaan akan memanggil seorang lagi saksi daripada pengurusan tertinggi 1MDB iaitu bekas ketua pegawai kewangannya (CFO) Azmi Tahir untuk memberi keterangan esok.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.