- Iklan -
Berita

BN masih buka ruang terima parti lain jika menang PRN Melaka

Namun Mohamad Hasan mahu satu parti teras yang boleh berdiri dengan sendiri untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dikibarkan bagi menjayakan kempen PRN Melaka yang diadakan 20 November ini.
Bendera Barisan Nasional dikibarkan bagi menjayakan kempen PRN Melaka yang diadakan 20 November ini.

Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menerima rakan parti lain dalam kerajaan negeri Melaka sekiranya ia memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan.

Pengarah PRN BN Melaka itu berkata bagaimanapun pada masa sama, perlu ada satu parti teras yang boleh berdiri dengan sendiri untuk menubuhkan kerajaan negeri agar tidak ada mana-mana pihak membuat ugutan keluar parti yang sekali gus boleh menyebabkan kerajaan negeri runtuh.

“Kalau rakan-rakan yang mahu bersama dengan kita, tiada isu… lebih ramai lebih meriah, lebih ramai lagi baik, tetapi kita tidak mahu wujud satu keadaan di mana kita kerajaan sentiasa diugut setiap hari.

Setiap hari, setiap pagi ketua menteri bangun tidur, dia memikirkan sama ada dia masih ada lagi majoriti ataupun tidak. Itu tidak baik,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran manifesto BN bagi PRN Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran hari ini.

Hadir sama calon BN bagi kerusi DUN Lendu Sulaiman Md Ali dan Naib Presiden Umno Mohamed Khalid Nordin.

Terdahulu, Mohamad ditanya mengenai sama ada BN akan kembali menerima PAS dan Bersatu jika BN memenangi PRN Melaka pada kali ini.

Dalam pada itu, Mohamad berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji kembali prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan pada PRN kali ini agar parti-parti yang bertanding mempunyai sedikit ruang untuk berkempen kepada pengundi.

Katanya beliau faham kerajaan perlu mengenakan peraturan ketat dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19, namun dalam masa yang sama demokrasi perlu dirai dan diamalkan.

“Kita faham tidak ada ceramah, kita faham, tetapi takkanlah nak menghantar ‘handbill’ (risalah) ke rumah pun tak boleh. Tak boleh berjalan ‘walkabout’ (jelajah mesra) di pasar, di tempat kedai kopi. Saya minta supaya diberikan kelonggaran sikitlah kerana ia tidak memeriahkan pilihan raya dan kita juga faham kekangan yang dihadapi oleh kerajaan.

Jadi saya harap supaya fikirkan baik-baiklah, SPR dan pihak kementerian-kementerian yang lain, fikirkan elok-elok supaya kita dapat mencapai suatu keadaan di mana kita tidak mengekang aktiviti untuk bergerak untuk pilihan raya ini, dalam masa yang sama kita nak pasti supaya jangkitan Covid-19 ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.