- Iklan -
Berita

Apakah Malaysia bakal mempunyai ketua menteri wanita pertama?

Menurut Mas Ermieyati, senario politik sudah berbeza berbanding tiga tahun lepas yang memungkinkan peralihan pengundi Melayu dari Barisan Nasional kepada Perikatan Nasional.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Mas Ermieyati Samsudin, calon Perikatan Nasional bagi kerusi Tanjung Bidara.
Mas Ermieyati Samsudin, calon Perikatan Nasional bagi kerusi Tanjung Bidara.

Suasana sebuah rumah kampung di tepi sebatang jalan itu kebiasaannya tenang sahaja.

Namun bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, bendera berwarna biru gelap Perikatan Nasional (PN) terpacak di pagar rumah itu.

Rumah itu dijadikan bilik gerakan PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Khemah dipasang bagi memudahkan jentera PN berkumpul dan menyusun aktiviti kempen.

Kenderaan Mercedes putih menyusur masuk ke perkarangan rumah membawa calon PN di kerusi itu, Mas Ermieyati Samsudin.

Wanita berusia 44 tahun itu menaip sesuatu di telefon bimbit miliknya.

Beliau baru selesai melawat sebuah dewan yang dalam pembinaan di DUN itu dan ingin berkongsi aktivitinya di media sosial.

Kekangan SOP Covid-19 bermakna beliau dan calon-calon wajib memaksimakan penggunaan platform dalam talian untuk berkempen.

Mas Ermieyati memeriksa poster pilihan raya dalam menghadapi kempen di Tanjung Bidara.

Ketika ditemui, beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan rasional mengapa bertanding pada PRN Melaka kali ini.

“Sebenarnya tiada keperluan untuk saya bertanding pada PRN sebab saya sudah pun menjadi ahli Parlimen dan timbalan menteri.

“Tetapi saya hendak sumbangkan kerusi untuk PN. Saya rasa PRN kali ini cukup penting kerana dia memberikan satu simbol untuk PRU-15 nanti,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.

Selama dua penggal menjadi ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas berkata menerusi bacaan politiknya mengenai undi Melayu, senario politik sudah berbeza berbanding tiga tahun lepas yang boleh memungkinkan peralihan pengundi Melayu daripada Barisan Nasional (BN) kepada PN.

Pengundi Melayu mewakili 95% daripada 10,000 pengundi di DUN tersebut yang terletak di bawah Parlimen Masjid Tanah yang diwakilinya.

“Pertamanya jenama PN itu sendiri, imej yang ditonjolkan Pengerusi PN yang juga mantan perdana menteri (Muhyiddin Yassin). Semasa pandemik melanda beliau fokus membantu rakyat.

“Begitu juga dengan imej integriti dan bersih yang ditonjolkan beliau akan memberikan ‘wow factor’,” katanya.

Cakap-cakap politik di Melaka tidak lepas daripada persoalan siapa bakal menduduki Seri Bendahara, kediaman rasmi ketua menteri negeri bersejarah itu.

Ini kerana calon ketua menteri masih tidak diumumkan oleh blok-blok yang bertanding.

 

Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) masih berbelah-bahagi antara mereka, dengan DAP menggesa bekas ketua menteri, Adly Zahari dinaikkan semula ke jawatan itu.

Manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim pula dilaporkan masih berteka-teki antara calon DUN Paya Rumput, Shamsul Iskandar Md Akin atau bekas ketua menteri, Idris Haron yang mewakili parti itu di kerusi Asahan.

Bekas perdana menteri yang juga penasihat BN Najib Razak pula mengumumkan bekas ketua menteri, Sulaiman Md Ali yang ditumbangkan baru-baru ini menjadi calon tunggal daripada blok itu.

Mas Ermieyati berbincang dengan aktivis gabungan Perikatan Nasional mengenai kempennya di Tanjung Bidara.

Bagaimanapun cakap-cakap di lapangan mengatakan Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh juga merupakan calon ketua menteri.

PN juga tidak mengumumkan calon ketua menteri, namun ramai yang menganggap Mas sebagai calon disebabkan tindakannya bertanding pada PRN Melaka.

“Tugas saya hanya untuk menangkan kerusi Tanjung Bidara, itu hasrat dan amanah oleh pucuk pimpinan parti,” katanya ketika mengulas mengenai kebarangkalian beliau menjadi ketua menteri.

Jika ia benar-benar terjadi, Mas yang pernah memegang jawatan ketua Puteri Umno juga bakal melakar sejarah menjadi ketua menteri wanita yang pertama bukan sahaja untuk Melaka, malahan di Malaysia.

Apatah lagi dengan peratusan calon wanita pada PRN kali ini tidak terlalu ramai, bahkan jauh daripada jumlah 30% yang diperjuangkan oleh aktivis dan pemimpin wanita.

Mas berkata, fokusnya ialah beberapa aspek kehidupan warga Tanjung Bidara, utamanya pelancongan yang membawa hasil yang cukup besar kepada negeri itu.

“Tanjung Bidara cukup berpotensi. Orang ramai boleh mandi di sepanjang pantai, tidak seperti pantai Klebang atau Jasin. Ekonomi cukup penting selepas dua tahun pandemik, orang hilang kerja, terpaksa jual rumah.”

Selain itu, beliau juga mahu memikirkan bagaimana mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang kini berdepan cabaran kekurangan hasil tangkapan.

Mas berdepan dua lagi lawan, Zainal Hassan daripada PH dan Rauf mewakili BN dalam pertandingan tiga penjuru 20 November ini.

Beliau yang pernah “bernaung” di bawah Rauf ketika dalam Umno itu bagaimanapun tidak merasakannya sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Ini bukan kali pertama, sudah banyak berlaku pertembungan begitu, itu adalah normal,” katanya yang mengakui Rauf merupakan seorang yang disegani.

Mas juga “bertembung” dengan Najib Razak dalam dunia maya sebelum ini apabila usikannya mengenai pasukan bola sepak dibalas bekas perdana menteri itu.

“Dia bekas bos saya. Najib seorang yang baik, saya hormat dia sebagai bekas PM.

“Saya sengaja usik dia dengan MU dan Liverpool,” katanya merujuk kepada hantaran beliau di laman Facebook mengenai pasukan bola sepak disokong Najib yang kalah besar kepada Liverpool baru-baru ini.