Wednesday, December 1, 2021

Najib, Rosmah tidak hadir pemeriksaan 11,991 unit barang kemas

Pemeriksaan barang kemas tersebut hanya dijalankan oleh wakil syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan.

Other News

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa wakil syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan telah memeriksa secara fizikal ke atas 11,991 unit barang kemas yang disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin semalam.

“Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam dan wakil syarikat Global Royalty hadir untuk menjalankan pemeriksaan secara fizikal bermula 25 Oktober sehingga 3 November lepas.

“Namun, peguam-peguam yang mewakili Najib dan isteri Rosmah Mansor memberitahu mahkamah bahawa anak guam mereka tidak dapat hadir dan melepaskan hak (forego) untuk pemeriksaan barang kemas itu. Ini kerana Rosmah perlu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya manakala Najib terlibat dalam tugasnya di Parlimen,” kata Faten Hadni.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty berkata pemeriksaan fizikal itu dilakukan oleh ejen syarikat barang kemas tersebut, Kelvin Chai berikutan pemilik syarikat berkenaan, Samer Halimeh tidak dapat memasuki Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

Peguam Azamuddin Abd Aziz dan Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib dan Rosmah turut mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan 22 November untuk pengurusan kes selanjutnya.

Najib, Rosmah dan Samer merupakan pihak ketiga ingin menuntut barang kemas, dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings yang dimiliki Bustari Yusof.

Pada 25 Julai tahun lepas, Najib dan Rosmah telah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1MDB.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles