- Iklan -
Berita

Menteri turut merayu Singapura selamatkan nyawa banduan warga Malaysia

Annuar Musa berkata beliau berharap pengampunan diberikan kepada Nagaenthran K Dharmalingam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis NGO Sebaran Kasih, Angelia mengangkat plakad selamatkan Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia cacat mental semasa himpunan penyerahan memorandum kepada Parlimen.
Aktivis NGO Sebaran Kasih, Angelia mengangkat plakad selamatkan Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia cacat mental semasa himpunan penyerahan memorandum kepada Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini turut menyertai paduan suara yang merayu supaya nyawa seorang banduan cacat mental warga Malaysia diselamatkan daripada menjalani hukuman mati di Singapura, ketika percubaan akhir sedang diusahakan di mahkamah agar Naggaenthran K Dharmalingam tidak menjalani hukuman mati di republik itu.

“Saya berdoa rayuan bagi #NagaenthranDharmalingam yang memiliki IQ serendah 69 akan diterima supaya dia tidak menjalani hukuman mati pada Rabu,” kata menteri Umno itu dalam sebuah ciapan Twitter.

“Saya harap pengampunan diberikan seperti yang dimohon oleh Perdana Menteri Ismail Sabri.”

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana membawa 43g heroin ke Singapura, negara yang memiliki undang-undang dadah paling keras di dunia.

Dia dijatuhkan hukuman mati setahun selepas itu dan dijadualkan menjalaninya pada 10 November selepas kalah dalam beberapa rayuan di mahkamah.

Kemarahan berhubung pelaksanaan hukuman itu berpunca daripada diagnosis keupayaan mentalnya, yang mengesahkan antara lain memiliki IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi seseorang itu diisytiharkan seseorang individu yang tidak memiliki keupayaan intelek.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis juga turut mengadakan protes dan bantahan sejak dua minggu lalu bagi mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati terhadap OKU mental.

Kes beliau juga mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menulis rayuan kepada rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong supaya nyawa Nagaenthran diselamatkan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi memberi laluan kepada peguamnya untuk memfailkan rayuan termasuk peguam hak asasi terkemuka M Ravi.

Namun kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty kemudiannya mempersoalkan jadual pada yang diberikan mahkamah, termasuk dua pendengaran dalam tempoh kurang dari 24 jam selain perintah supaya penyerahan afidavit difailkan sebelum pukul 10 pagi hari ini.

“Tiada peguam dapat failkan hujahan bertulis dan menyediakan afidavit dalam masa semalaman. Ia adalah arahan yang tidak masuk akal daripada mahkamah dan nampaknya seperti berniat untuk menggugurkan kedua-dua perbicaraan pada 9 November,” kata kumpulan itu.

Kementerian dalam negeri Singapura mempertahankan keputusan tersebut bagi meneruskan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap Nagaenthran, mengatakan penghakiman mendapati lelaki itu “mengetahui apa yang dia lakukan” ketika kesalahan tersebut dibuat.