- Iklan -
Berita

Malaysia sedia bincang laluan perjalanan vaksinasi tanpa kuarantin untuk pengembara UK

Malaysia juga mahu UK beri kemudahan kepada pengembara Malaysia yang menerima vaksin Sinovac untuk masuk ke negara itu tanpa perlu melalui tempoh kuarantin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersama Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Elizabeth Truss dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Facebook
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersama Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Elizabeth Truss dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Facebook

Malaysia sedia berbincang dengan United Kingdom (UK) mengenai laluan perjalanan vaksinasi (VTL) (vaccinated travel lane) bagi pengembara dari negara itu yang lengkap divaksinasi untuk masuk ke Malaysia tanpa melalui tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, Elizabeth Truss, dengan persetujuan Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam pertemuan mereka di sini.

“Kita akan bincang soal teknikal di peringkat pegawai dan kita akan umumkan dalam masa terdekat apakah timeline untuk kita membuka VTL kepada pengembara dari UK yang ingin datang ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Truss tiba di Malaysia pada Ahad, dalam rangka lawatan pertama ke rantau Asia Tenggara sejak dilantik sebagai setiausaha luar UK pada September 2021.

Khairy berkata beliau juga memaklumkan kepada Truss mengenai harapan Malaysia supaya UK memberi kemudahan kepada pengembara Malaysia yang menerima vaksin Sinovac untuk masuk ke negara itu tanpa perlu melalui tempoh kuarantin.

Menurut beliau ketika ini pengembara Malaysia yang lengkap menerima vaksin tertentu sahaja dibenarkan masuk ke negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

“Saya dimaklumkan tadi bahawa ada berita baik daripada UK yang akan diumumkan nanti. Diharapkan mereka akan umumkan bahawa mereka juga akan iktiraf vaksin Sinovac, jadi penerima vaksin itu juga akan diberikan kemudahan tanpa kuarantin apabila mengunjungi UK nanti,” katanya.

Ditanya mengenai subvarian Delta AY.4.2 yang dikesan dalam dua kes import di negara ini, Khairy berkata ia masih dikategorikan sebagai varian dalam siasatan (VUI) dan belum ditakrifkan sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

“Kita dapati ia merupakan satu varian dengan kebolehjangkitan terutamanya tanpa bergejala, sedikit lebih tinggi daripada varian Delta asal, tetapi dari segi severity atau tahap gejala, tidak lebih teruk daripada varian Delta asal,” jelasnya.

Tambahnya subvarian itu masih dalam siasatan dan pemantauan di Malaysia.

Sabtu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan penemuan dua kes Covid-19 yang dijangkiti subvarian itu dalam kalangan kes import iaitu pelajar Malaysia yang baru pulang dari UK.