- Iklan -
Berita

Malaysia rekod penurunan kematian, kes baru Covid-19

Bagaimanapun kadar kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan peningkatan sebanyak 2%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sektor ekonomi mulai rancak selepas kelonggaran diberikan di bawah Program Pemulihan Negara.
Sektor ekonomi mulai rancak selepas kelonggaran diberikan di bawah Program Pemulihan Negara.

Malaysia mencatatkan penurunan 27.2% dalam kes kematian berkaitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 dari 31 Okt hingga 6 November iaitu kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kadar kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan peningkatan 2% iaitu kepada 516 kes berbanding 505 kes pada minggu epidemiologi sebelumnya.

“Kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan. Kes baru Covid-19 menunjukkan penurunan 13.1% kepada 35,303 kes daripada 40,613 kes (ME ke-43).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya hingga 6 November, terdapat kumulatif 5,719 kluster dilaporkan dan 335 kluster aktif, justeru, ia menunjukkan penurunan 23.5% berbanding ME ke-43.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan negara hari ini merekodkan 7,348 kes sembuh, melebihi kes baru Covid-19 iaitu 4,543 kes, menjadikan jumlah kumulatif masing-masing 2,419,743 dan 2,510,852 kes.

Beliau berkata 534 kes ditempatkan di ICU dengan 263 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan, 97.5% atau 4,431 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala 2.5 peratus (112 kes) melibatkan kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata enam kluster dikenal pasti melibatkan tiga kluster tempat kerja, dua kluster pendidikan tinggi dan satu kluster pusat tahanan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pembukaan semula sesi persekolahan supaya mematuhi prosedur operasi standard sepanjang sesi berlangsung agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah.

“Keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat perlu diberi lebih perhatian dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di sekolah.

“Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat agar mereka kekal terhindar daripada bahaya COVID-19. Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin Covid-19 segera divaksin lengkap,” katanya.