- Iklan -
Berita

Komuniti Cina perlu sokong SUPP, kata Abang Johari

Abang Johari Openg berkata masyarakat kaum itu perlu berfikir sedalam-dalamnya, bagi memastikan mereka mempunyai perwakilan dalam pentadbiran kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Komuniti kaum Cina di Sarawak perlu menyokong Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang bagi memastikan mereka mempunyai perwakilan yang kukuh dalam pentadbiran negeri.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg berkata masyarakat kaum itu perlu berfikir sedalam-dalamnya, bagi memastikan mereka mempunyai perwakilan dalam pentadbiran kerajaan seharusnya mereka bekerjasama dengan GPS.

“Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Presiden SUPP) dan rakan seperjuangannya perlu berada dalam barisan pentadbiran kerajaan untuk bersama kita bangunkan negeri Sarawak,” kata Ketua Menteri itu semasa berucap di Batu Kawa Waterfront semalam.

GPS yang melibatkan persepakatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum mengesahkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN nanti.

Sementara itu semasa ditanya sekiranya kerajaan GPS ada rancangan untuk melantik seorang timbalan ketua menteri dari kaum Cina sekiranya mereka berjaya mendapat mandat baru untuk menerajui pentadbiran negeri nanti, Abang Johari berkata perkara itu akan diputuskan selepas PRN.

“Kita akan putuskan (jawatan timbalan ketua menteri) selepas pilihan raya, buat masa ini jangan buat spekulasi. Nama calon GPS juga kita hanya akan umum apabila dekat dengan hari penamaan calon nanti selepas kita bermesyuarat,” katanya.

Pada 5 November lepas Abang Johari berkata Dewan Undangan Negeri Sarawak terbubar berkuat kuasa 3 Nov, selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama, sekali gus memberi laluan kepada PRN.

- Iklan -

Paling Popular