- Iklan -
Berita

Isu hartal doktor kontrak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-10 akan diteruskan dengan sesi perbahasan Belanjawan 2022.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Isu perjawatan tetap kepada doktor kontrak dan langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman web rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada menteri kesihatan pada sesi waktu pertanyaan menteri.

Dalam pada itu, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula minta menteri kanan kerja raya menyatakan persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat ini, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Pada sesi yang sama juga, menteri sains, teknologi dan inovasi dijangka menjawab soalan Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu mengenai eksport tenaga hidrogen ke luar negara bagi 2020 hingga Jun 2021 serta langkah kementerian bagi memperkukuh industri itu.

Usai sesi tersebut, persidangan berkenaan bakal tertumpu kepada soalan Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta menteri kanan pendidikan menjelaskan langkah pemantauan bagi memastikan murid yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian khususnya murid tahap satu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan lebih baik.

Sementara itu, Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) bertanya kepada menteri pengajian tinggi tentang jumlah peratusan kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada 2019 hingga 2021.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-10 hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober telah dibahaskan 64 ahli Parlimen, setakat semalam.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan hingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 November.

Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Disember.