Tuesday, November 30, 2021

Bagi nelayan di Tanjung Bidara, ketokohan individu atasi jenama parti

Meskipun kerusi itu merupakan kubu kuat Umno, prestasi calon yang lebih terbukti jadi keutamaan nelayan.

Other News

Di bawah sebuah pokok rendang di pantai Pengkalan Balak, lelaki berusia separuh abad itu duduk dengan khusyuk menyusun kailnya.

Berlindung daripada terik matahari, dia melepaskan lelah setelah setengah hari berada di laut mencari ikan yang menjadi mata pencariannya sejak 30 tahun lepas.

Namun hari itu hasil yang ditangkap Mohd Ali Abu Bakar tidak banyak.

Hanya dua ekor dibawanya ke darat.

Tangkapan nelayan di kawasan itu semakin hari semakin menyusut akibat hakisan pantai yang bertambah buruk di situ.

Ali berkata, dia bekerja sebagai nelayan sepenuh masa dan mata pencariannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia harus turun ke laut setiap hari untuk menyara keluarganya dan keadaan itu mengakibatkan enjin botnya sering rosak.

“Saya terpaksa pinjam enjin orang lain. Hendak keluarkan kos pembaikan sahaja beratus ringgit, saya sudah mohon bantuan kepada pihak yang terlibat namun tiada jawapan sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Tangan Ali terus bekerja menguis tali kail dan menyusunnya.

Sesekali dia mengelap peluh di dahi.

Sesekali dia berkongsi gelak ketawa dengan dua orang rakan nelayan.

Permohonan enjin itu bukan satu-satunya yang dibuat oleh Ali.

Ali mengangkat enjin bot untuk disimpan didalam stor selepas pulang dari laut di Tanjung Bidara.

Dia juga pernah memohon pihak berkuasa membina satu garaj supaya bot boleh disusun dengan kemas sebagai satu tarikan pelancongan, namun itu juga tidak diendahkan.

Tangkapan yang berkurangan, selain fokus kebajikan nelayan di Pengkalan Balak yang terletak di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu antara isu yang akan menjadi penentu kemenangan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Calon di Tanjung Bidara yang memasang impian untuk memenangi kerusi itu tidak boleh tidak harus mengambil kira kebajikan para nelayan di DUN itu.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mas Ermieyati Samsuddin akan berentap menentang calon Barisan Nasional (BN), Ab Rauf Yusoh dan Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Namun tumpuan diberikan kepada calon PN dan BN yang masing-masing disebut-sebut calon ketua menteri gabungan masing-masing sekiranya menang PRN Melaka.

Nelayan di Pengkalan Balak tidak segan silu menceritakan pandangan mereka mengenai politik di kawasan itu.

DUN Tanjung Bidara disifatkan kubu kuat BN namun persoalan timbul antara jenama parti dan ketokohan individu.

Seorang nelayan menyusun pukat udang ke dalam botnya untuk persiapan ke laut di Tanjung Bidara.

Prestasi calon main peranan penting

Seorang nelayan, Osman Ibrahim berkata, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebelum ini dari BN, Md Rawi Mahmud tidak terlalu mendengar keluhan rakyat apabila rungutan yang disuarakan ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Jika Adun terdahulu bertanding melawan Mas, dia akan kalah. Sekarang ini Rauf, mungkin 50-50.

“Tapi kalau dia (Mas Ermiyati) jadi ketua menteri, Alhamdulillah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Osman juga mempunyai masalah apabila lesen nelayan yang dimohonnya sejak sekian lama masih belum diluluskan.

Lelaki berusia 65 tahun itu memberitahu dia lebih selesa dengan calon PN yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah.

Osman menyifatkan Mas Ermieyati sebagai mudah didekati dan mesra rakyat.

Osman Ibrahim, 65, meluahkan rasa berkaitan permintaan mereka kepada pemimpin terdahulu berkaitan keperluan kaum nelayan di Tanjung Bidara.

Ali bersetuju dengan rakannya.

Baginya, Mas Ermieyati menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah dengan cemerlang.

Mas Ermieyati juga kerap bertemu mereka di pantai itu.

“Saya pernah mohon bantuan untuk seorang bekas nelayan yang menetap di Cheng. Saya mohon bantuan di pejabat beliau (Mas), sekejap sahaja sampai, tak perlu isi borang,” katanya.

Tidak banyak komen yang didengari daripada mereka mengenai calon BN memandangkan beliau merupakan muka baru yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

Mengenai jenama parti BN atau Umno, mereka berkata faktor itu mungkin berpengaruh suatu ketika dahulu, namun kriteria yang diutamakan mereka ialah individu, bukan parti politik.

Tidak banyak yang dipinta oleh nelayan melainkan sedikit perhatian dan komitmen wakil rakyat bagi membela nasib mereka

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles