- Iklan -
Berita

Umno tak pernah berhasrat ugut PAS supaya tidak bersama Bersatu, kata Zahid

Menurut presiden Umno, setiap parti politik mempunyai dasar serta perancangan tersendiri dan bebas merencanakannya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.

Umno tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama Bersatu kerana setiap parti politik mempunyai dasar serta perancangan tersendiri dan bebas merencanakannya, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun beliau mengakui Umno baru-baru ini membangkitkan semula ketetapan yang pernah dibuat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) berkenaan keputusannya pada mesyuarat 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020 sebagai agenda meneruskan persefahaman bersama PAS bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Asas persefahaman dengan PAS, berpandukan kepada prinsip PAS akan menggunakan lambang partinya sendiri. Bagaimanapun pimpinan PAS tampak tidak berminat memenuhi ketetapan Muafakat Nasional itu kerana mahu bersama Bersatu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook, malam ini.

Kerjasama politik yang dikenali sebagai Piagam MN dimeterai Umno dan PAS disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Zahid  dan Abdul Hadi Awang pada September 2019.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yakni Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.