- Iklan -
Berita

Polis Melaka terima laporan 2 calon bawa penyokong ke pusat penamaan

Polis turut menyuraikan antara 20 hingga 25 penyokong yang berkumpul kira-kira 100 meter dari pusat-pusat penamaan calon berkenaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ab Rauf (BN-Umno) tiba bersama penyokong Barisan Nasional di dewan penamaan calon DUN Tanjung Bidara  di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.
Ab Rauf (BN-Umno) tiba bersama penyokong Barisan Nasional di dewan penamaan calon DUN Tanjung Bidara di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.

Polis Melaka menerima dua laporan berhubung tindakan calon membawa penyokong di dua pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata laporan membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

“Terdapat antara 20 hingga 25 penyokong yang berkumpul kira-kira 100 meter dari pusat-pusat penamaan calon berkenaan namun disuraikan anggota polis yang bertugas.

“Arahan penyelarasan tugas telah dikeluarkan bahawa laporan polis hendaklah dibuat kepada mana-mana pihak yang membawa penyokong di pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau proses penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara hari ini.

Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara menjadi lokasi pencalonan bagi kerusi yang dianggap “panas” N02 Tanjung Bidara, membabitkan Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN), Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

Sementara Kompleks Komuniti Desa Telok Mas di Melaka Tengah, merupakan lokasi berlangsungnya pencalonan bagi kerusi DUN Telok Mas (N 23) membabitkan pertandingan empat penjuru iaitu Mohd Rafiq Naizamohideen dari PN, Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Abdul Razak Abdul Rahman (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas, susulan empat ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita.