- Iklan -
Berita

Perbincangan kerjasama PH, PSB bagi hadapi PRN Sarawak tergendala, kata PKR

Perbincangan tersebut tergendala berikutan pertindihan agihan kerusi antara PH dan PSB.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penyokong PKR mengibarkan bendera parti itu. Kerjasama antara PH dan PSB tergendala menjelang PRN Sarawak yang dijangka diadakan selepas PRN Melaka. Gambar: AP
Seorang penyokong PKR mengibarkan bendera parti itu. Kerjasama antara PH dan PSB tergendala menjelang PRN Sarawak yang dijangka diadakan selepas PRN Melaka. Gambar: AP

Perbincangan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 tergendala susulan permintaan agihan kerusi yang bertindih, kata Pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh hari ini.

Berikutan itu beliau berkata parti komponen PH yang terdiri daripada parti DAP, Amanah dan PKR setakat ini tidak akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang terdapat di Sarawak pada PRN nanti.

“Setakat ini (perbincangan kerjasama dengan PSB) tidak mencapai kata sepakat, tetapi kita tidak tahu pada masa akan datang apa akan terjadi kerana masih ada masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, ahli Majlis Presiden PSB yang juga bekas Adun dari PKR, Baru Bian mengajak DAP untuk bekerjasama dalam PRN Sarawak atas satu objektif utama iaitu membawa perubahan untuk rakyat Sarawak dengan menjatuhkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dilaporkan mendakwa PSB sebagai parti yang “mencurigakan” ekoran “persamaan” yang dimiliki parti itu dengan GPS.

Abang Zulkifli seterusnya mengesahkan PKR Sarawak akan meletakkan calon di 49 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN nanti.

“Pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah berjalan lancar. Baki 33 kerusi lagi akan diisi oleh dua parti itu,” katanya.