- Iklan -
Berita

Kempen secara bersemuka tidak dibenarkan dalam PRN Melaka

Calon digalakkan berkempen secara dalam talian bagi mengekang penularan Covid-19.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Abdul Ghani Salleh bercakap ketika sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri Melaka di Menara Persekutuan hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Abdul Ghani Salleh bercakap ketika sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri Melaka di Menara Persekutuan hari ini.

Aktiviti berkempen secara bersemuka termasuk ceramah dan menziarahi rumah pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 tidak dibenarkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan penjarakkan fizikal dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ghani berkata, calon yang bertanding digalakkan berkempen menggunakan medium dalam talian atau saluran media massa dan media sosial.

“Calon juga dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit yang dibenarkan oleh pihak polis.

“Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah dan tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Ghani berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksnaaan PRN DUN Melaka diluluskan kememterian kesihatan pada 7 November selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Tambah beliau, tempoh berkempen bermula selepas selesainya proses penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November depan.

“SPR menubuhkan 28 pasukan penguat kuasa kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen,” katanya.

Mengulas mengenai pengundi, beliau berkata, SPR menjangka peratusan keluar mengundi kekal pada 70% meskipun berdepan ancaman Covid-19.

Bagaimanapun, pengundi yang positif Covid-19 dan sedang menjalankan kuarantin tidak dibenarkan hadir ke tempat mengundi.