Saturday, December 4, 2021

Di negeri Jelapang Padi, pesawah berdepan tekanan harga, bekalan benih kurang 

Pesawah padi menggesa kerajaan siasat sekiranya wujud ketirisan dalam penyediaan input pertanian.

Other News

Selama lebih 14 tahun, Mohd Rafirdaus Abu Bakar mengerjakan 25 ekar bendang sawah miliknya.

Apabila tiba musim, dia dan pesawah lain akan mula menabur benih padi.

Sebagai pesawah, Mohd Rafirdaus merupakan “barisan hadapan” yang bertanggungjawab menghasilkan makanan ruji kepada seluruh rakyat Malaysia, iaitu beras.

Kedah terkenal dengan jolokan negeri “Jelapang Padi”, namun masalah berhubung tanaman itu sudah melarat sejak beberapa tahun lalu menghantui kira-kira 55,000 pesawah di negeri utara itu.

Kedah dan Perlis menghasilkan kira-kira 43% pengeluaran padi negara.

Menurut Rafirdaus, pesawah di Kedah berdepan masalah kekurangan bekalan benih yang mengganggu jadual penanaman padi.

Katanya, pesawah harus mengikuti jadual penanaman padi namun ramai tidak mendapat benih yang dimahukan mereka.

“Fasa 1 (musim menabur) sepatutnya bulan 10, namun benih padi ketika itu masih tak lulus di peringkat makmal. Alasannya, makmal tak cukup kakitangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Di kilang juga seolah-olah ada ‘permainan’ sendiri. Mereka hasilkan benih padi yang kami tak mahu.”

Katanya, benih yang dijual di kilang juga melangkaui harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, harga di kilang tertera sebanyak RM28 untuk satu beg benih namun ia meningkat kepada RM33 ke RM40 yang menyebabkan beban pesawah bertambah.

Dia berkata kilang-kilang yang memonopoli pengeluaran benih padi tidak menghasilkan benih padi mengikut acuan pesawah, sebaliknya mengikut kehendak sendiri.

“Mereka masih keluarkan padi yang jenis 20 tahun dulu.

“Mereka keluarkan atas alasan Jabatan Pertanian tak mahu varieti yang sama. Ini alasan lapuk dan pemalas,” katanya.

Situasi itu mengakibatkan pembelian panik yang menaikkan harga barang itu.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, pesawah di Kedah terpaksa berhadapan dengan tanah bendang kering yang tidak sesuai untuk penanaman, selain kos input pertanian seperti baja, racun dan jentera yang turut meningkat.

Rafirdaus menggesa kerajaan menyiasat sekiranya berlaku ketirisan atau terdapat pihak yang mengambil kesempatan sehingga akhirnya petani terpaksa menanggung bebannya.

Kos pengeluaran meningkat

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Mohd Fuad Yaakob berkata, harga input pertanian naik 50 hingga 70%.

“Kerajaan sepatutnya pertingkatkanlah subsidi, kerana kerajaan kawal harga padi dan beras, tapi kos semuanya ditanggung oleh petani,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kelewatan mendapat bekalan benih menyukarkan petani untuk menanam sekiranya bendang menjadi kering akibat cuaca panas.

“Kawasan yang mempunyai infrastruktur seperti empangan akan bernasib baik, tapi kawasan yang tiada hanya mampu mengharapkan hujan.”

Mengulas mengenai Belanjawan 2022 terhadap petani, katanya tiada apa-apa penambahan untuk petani bahkan, ia merupakan peruntukan lama yang “digilap” semula.

MalaysiaNow terdahulu melaporkan walaupun Malaysia baru-baru ini berada di ranking kedua Asia Tenggara selepas Singapura dari segi keselamatan makanan, pakar mengingatkan masalah struktur berkaitan perkara itu yang masih menghambat negara.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata isu utama yang berbangkit adalah berhubung sektor padi dan beras, mengatakan tahap pengeluaran padi suram walaupun peruntukan belanjawan yang besar diberikan kepada kementerian pertanian dari 2015 hingga 2017.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles