- Iklan -
Berita

Mereka kawan tapi semua kerusi milik kami, kata GPS berhubung sekutu semenanjung

Gabungan itu berhasrat untuk bertanding di seluruh 82 kerusi DUN Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
GPS bakal bertanding di 82 kerusi di seluruh DUN Sarawak dalam PRN kali ini. Gambar: Bernama
GPS bakal bertanding di 82 kerusi di seluruh DUN Sarawak dalam PRN kali ini. Gambar: Bernama

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata walaupun GPS mempunyai hubungan baik dengan Perikatan Nasional (PN), ia tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti yang berpangkalan di semenanjung yang mesra gabungan itu.

“Saya rasa tidak ada kerusi yang boleh diberikan kepada rakan-rakan daripada parti semenanjung yang mesra dengan kami,” katanya ketika ditanya selepas sidang media hari ini.

“Mereka perlu menghormati kami kerana GPS mempunyai empat parti komponen sendiri. Selain itu, kami sudah membincangkan pembahagian kerusi antara kami.

“Jadi, mereka agak terlambat,” katanya ketika ditanya sama ada GPS akan memberi laluan kepada Bersatu dalam PRN Sarawak.

Bersatu kini memegang satu kerusi di Sarawak: Krian, di mana bekas ahli PKR Ali Biju adalah wakil rakyatnya.

GPS terdiri dari PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dianggap sebagai “kingmaker” dalam politik persekutuan.

Sokongan gabungan itu dan PAS turut dilihat penting dalam Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Karim berkata, walaupun GPS terbuka untuk menerima muka baru, namun baginya, parti semenanjung tidak dapat menarik sokongan di negeri Malaysia Timur itu.

“Kita melalui era ini pada 1930, 30 hingga 40 tahun lalu, walaupun dengan parti-parti politik pada zaman PBDS,” katanya merujuk Parti Bansa Dayak Sarawak yang sudah dibubarkan.

“Sama ada parti kecil atau besar, jika anda mahu datang maka kita terpaksa bertembung. Tidak kira parti besar mana pun, kami tidak takut,” katanya sambil menambah beliau percaya GPS akan meraih sokongan rakyat Sarawak.

“Jika anda seorang rakyat Sarawak yang sayangkan rakyat Sarawak, anda akan sokong kami.

“Jika anda orang Sarawak yang berkiblat semenanjung, maka sokonglah parti yang datang dari Malaya.”