Wednesday, December 8, 2021

Mengatasi ketakutan dan menyelam ke lubuk kemustahilan

Walaupun terhad dari segi fizikal, tiga anak muda berazam untuk membuktikan mereka miliki keupayaan lain walau termasuk dalam golongan OKU.

Other News

Ketika berusia 14 tahun, Ahmad Nazri didiagnosis menghidap kanser tulang di mana dia sedar penyakit itu akan mengubah perjalanan hidupnya.

Dalam usaha mengekang penyakit itu terus parah, doktor terpaksa memotong sebelah kakinya, menyebabkan pergerakan Nazri sangat terhad.

Kesan daripada itu tidak pernah terbayang oleh anak muda yang baru memasuki alam remaja.

Namun, walau berdepan ujian berat, Nazri berpegang bahawa dia miliki kemampuan diri yang besar dan enggan menyerah dengan segala keraguan dan kebimbangan dirinya sendiri.

Kini, di usia 31 tahun, Nazri berjaya mencipta nama sebagai pemain bola keranjang Paralimpik selain sentiasa teruja untuk mencuba perkara baru dalam hidupnya.

“Saya mendaki Gunung Kinabalu di Sabah dua kali hanya dengan satu kaki,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

“Kemudian, saya cuba pula selam skuba.”

Duta Dive Heart, Syed Abdul Rahman (kanan) memberi taklimat ringkas kepada peserta golongan kurang upaya berkaitan kelas menyelam yang bakal diikuti mereka bersama jurulatih professional di Kota Kemuning, Klang.

Bagi Nazri, perkara yang dilakukannya itu memberikan pengalaman baru dan membuatkannya berminat untuk meneroka lebih banyak hal.

Pada 2018, dia memperolehi lesen selam skuba laut dan kini, dia mampu dan dan dibenarkan melakukan aktiviti itu di laut.

Walaupun ia merupakan satu aktiviti yang dianggap menakutkan termasuk kepada sesetengah individu normal, namun Nazri menyukai aktiviti sukan mencabar itu.

Bagi Nazri, dengan menyertai sukan lasak sedemikian, ia membuktikan tiada perkara yang mustahil untuk dilakukannya.

Nooraishah Arshad, seorang lagi belia yang menghidap kanser tulang ketika usia awal remaja turut mengatasi had fizikal seperti Nazri.

Nooraishah juga turut menjadi ahli sukan Paralimpik.

Walaupun berkerusi roda, dia menetapkan keputusan untuk mengubah cara pandangan dan persepsi masyarakat umum mengenai orang kurang upaya (OKU).

Sama seperti Nazri, Nooraishah juga menemui minat menyelam skuba dan memiliki lesen skuba laut.

Nooraishah Arshad bersama suaminya tiba di Kelab Tropica Aman untuk menyertai kelas Dive Heart di Kota Kemuning, Klang.

Bukan sekadar itu, Nooraishah juga sedang berusaha mendapatkan lesen penyelam penyelamat yang jauh lebih mencabar.

Walaupun ramai yang meragui keupayaannya untuk mencapai tahap tersebut sebagai golongan OKU fizikal, dia akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan tanggapan mereka silap.

“Kita tidak ada lagi orang yang kudung di Malaysia dapat capai tahap sebagai seorang penyelam penyelamat, ia menjadi salah satu sebab mengapa saya mahu pikul tugas ini,” katanya.

“Saya mahu membantu rakan-rakan saya ketika kami berada di bawah air, dan saya mahu bawa suami saya bersama-sama melihat keindahan laut.”

Bagi Nazri dan Nooraishah, matlamat mereka menyertai selam skuba adalah bagi menunjukkan OKU juga mampu menyertai sukan itu dan menjadi contoh kepada yang lain.

Sementara Norisah Bahrom pula menyertai sukan itu bagi berdepan dengan ketakutan dirinya sendiri dalam menghadapi hidup sebagai seorang penghidap paraplegia.

Jurulatih menyelam skuba mengiringi Norisah Bahrom ketika melakukan aktiviti selaman. Norisah merupakan golongan kurang upaya apabila kedua kakinya menjadi lumpuh.

Akibat penyakit itu, kedua-dua kakinya cacat kekal akibat kecederaan saraf tunjang.

“Saya mempunyai ketakutan untuk berada di dalam air sejak saya masih kecil,” katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah ketakutannya meningkat selepas dia menjadi OKU.

“Tetapi saya memberitahu diri saya bahawa ini adalah peluang yang perlu saya ambil. Saya perlu belajar bagaimana untuk atasi ketakutan dan melatih diri untuk menjadi lebih berani.”

Ternyata ia adalah keputusan tidak pernah dia kesali.

Walaupun tidak dapat berjalan, di dalam air pergerakannya berbeza dan dia merasa bebas dan berdikari.

Pakar fisiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya Nur Zafirah, berkata dia memutuskan untuk menjadi sukarelawan di Dive Heart, pusat aktiviti selaman di mana atlet-atlet ini berkumpul.

Norisah Bahrom (kanan) menjalankan prosider saringan kesihatan dengan mengistiharkan taraf kemampuannya kepada Jurulatih Professional, Yasmin sebelum mengikuti sesi selam skuba di dalam kolam di Kelab Tropica Aman, Kota Kemuning, Klang.

Katanya, di sana dia yakin pengetahuannya boleh digunakan untuk membantu OKU memiliki peluang besar.

“Orang paling sukar berdepan kenyataan yang saya lihat sebagai ahli fisiologi adalah mereka yang lumpuh akibat kemalangan.

“Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tidak dapat menggunakan sebahagian badan mereka seperti biasa.”

Beliau berkata, cabarannya sebagai ahli fisiologi adalah untuk memberikan motivasi kepada mereka dan membantu golongan itu untuk mendapatkan semula keyakinan diri.

“Tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan, walaupun bagi golongan OKU,” tambahnya.

Inilah kata-kata yang sangat diyakini Nooraishah dan rakan-rakan.

Walaupun kehilangan kaki akibat kanser ketika dia usia remaja, mereka berazam untuk mencapai matlamat yang ditetapkan diri mereka sendiri.

“Ketika saya mengambil lesen untuk menyelam skuba laut bagi tahap lebih tinggi, saya terpaksa menyelam pada kedalaman maksimum 30m atau 100 kaki,” kata Nooraishah.

“Ia cukup dalam untuk orang biasa tetapi bukan untuk saya. Saya mahu pergi lebih dalam dan lebih jauh. Saya percaya saya boleh lakukannya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles