- Iklan -
Berita

3 penyandang kekal jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang  berlangsung selama dua hari bermula semalam secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian. Gambar: Bernama

Ketiga-tiga penyandang naib presiden PAS disahkan kekal memegang jawatan itu dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata berdasarkan pemilihan yang diadakan semalam, Idris meraih 1,164 undi, Mohd Amar (956 undi) manakala Ahmad (778 undi).

Bagaimanapun katanya, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki yang turut bertanding bagi jawatan tersebut sekadar meraih 623 undi sekali gus gagal melayakkan diri.

“Bagi pemilihan kali ini, jumlah perwakilan yang layak mengundi adalah 1,299 orang manakala jumlah undi yang diterima melalui e-voting adalah 1,221 undi,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023 hari ini.

Terdahulu Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding ialah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap dan Kamal Ashaari sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

Pemilihan kali ini turut melantik 18 ahli jawatankuasa daripada 36 pencalonan.

Berikut senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2021-2023:

  1. Muhammd Khalil Abdul Hadi
  2. Muhammad Sanusi Md Nor
  3. Kamaruzaman Mohamad
  4. Khairil Nizam Khirudin
  5. Riduan Mohamad Nor
  6. Iskandar Abdul Samad
  7. Dr Halimah Ali
  8. Mohamed Fadzli Hassan
  9. Ahmad Marzuk Shaari
  10. Mohd Nassuruddin Daud
  11. Dr Najihahtussalehah Ahmad
  12. Siti Zailah Mohd Yusoff
  13. Azman Ibrahim
  14. Nasrudin Hassan
  15. Ahmad Amzad Mohamed
  16. Ali Akhbar Gulasan
  17. Mahfodz Mohamed
  18. Dr Rosni Adam