- Iklan -
Berita

Umno, DAP dijangka bertembung ketika BN calonkan muka baru dalam PRN Melaka

Umno dijangka bakal bertembung dengan DAP di Pengkalan Batu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Majoriti calon Barisan Nasional di PRN Melaka adalah muka baru.
Majoriti calon Barisan Nasional di PRN Melaka adalah muka baru.

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan ia hanya akan mengekalkan empat calon penyandang kerusi DUN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan, di mana parti utamanya, Umno dijangka bertembung dengan DAP di sekurang-kurangnya satu kerusi.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan ketika mengumumkan senarai calon berkata 86% daripada mereka adalah muka baru.

Empat calon penyandang yang dikekalkan ialah Ketua Menteri Sulaiman Md Ali; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Muhammad Jailani Khamis; dan Zaidi Attan.

Empat calon penyandang yang dikekalkan ialah Ketua Menteri Sulaiman Md Ali; Exco Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Muhammad Jailani Khamis; dan Zaidi Attan.

Jailani memenangi kerusi DUN Rembia atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai Umno pada 1 Januari.

“Kita mencalonkan 20 kerusi Umno, tujuh MCA dan satu MIC pada PRN kali ini,” kata Mohamad dalam majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir kepimpinan komponen BN termasuk Wee Ka Siong dan Penasihat BN Najib Razak.

Umno dijangka bertembung dengan DAP di sekurang-kurangnya satu kerusi, dengan Kalsom Nordin dan Muhamad Danish Zainudin yang bakal bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu.

Pada PRU14, kerusi Pengkalan Batu dimenangi Norhizam Hassan Baktee yang mewakili DAP.

Bagaimanapun, beliau kemudian keluar parti itu pada November tahun lalu bagi memberi sokongan kepada blok BN sekali gus menjatuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Kerajaan BN yang menduduki tampuk pentadbiran kerajaan negeri sejak November tahun lalu bagaimanapun jatuh selepas Norhizam dan tiga rakan sejawatannya di DUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali menyebabkan DUN terbubar pada 4 Oktober lalu.

PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November depan dengan sekurang-kurangnya tiga gabungan politik utama iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) dijangka bakal bertembung.