- Iklan -
Berita

Rentas negeri lonjak industri perhotelan tetapi cabaran masih besar

Walau hotel menyaksikan tempahan tinggi, namun masih banyak operator perhotelan berdepan masalah kewangan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menempah hotel untuk bermalam ketika mengunjungi bandar-bandar besar selepas kelonggaran rentas negeri diberikan kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi.
Orang ramai menempah hotel untuk bermalam ketika mengunjungi bandar-bandar besar selepas kelonggaran rentas negeri diberikan kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi.

Pelancongan domestik yang meningkat secara mendadak selepas kerajaan memberikan kebenaran merentas negeri disebabkan kejayaan program vaksinasi kebangsaan memberikan nafas kepada sektor perhotelan untuk hidup semula, kata pemain industri.

Mereka berkata, jumlah tempahan bilik penginapan, bilik mesyuarat dan dewan di hotel didapati meningkat, sekali gus memberi ruang pemain industri untuk mula merangka strategi supaya dapat kembali ke landasan pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng, berkata selepas larangan merentas negeri ditamatkan, purata tempahan bilik hotel di seluruh negara meningkat antara 20% hingga 25% dan menambah hotel-hotel di ibu negara mencatatkan peningkatan hampir 25% manakala hanya Pulau Pinang merekodkan peningkatan peratusan satu digit.

“Berdasarkan trend pada tahun lalu selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan, jumlah purata penghunian dijangka meningkat lebih 40%,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sehingga kini, tempahan bilik hotel di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 33% secara purata. Hotel mewah di ibu negara tetap menjadi pilihan popular ekoran tawaran kadar harga penginapan dan promosi terutama pada hujung minggu.”

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein, berkata tempahan hotel bajet di seluruh negara kebanyakan tertumpu di kawasan pantai, pulau dan tanah tinggi manakala tempahan di kawasan bandar kurang mendapat sambutan.

Katanya, ini adalah hasil maklum balas yang diterima menerusi 2,3000 pengusaha hotel bajet yang berdaftar di bawah persatuan itu.

“Secara keseluruhan, tempahan hotel bajet meningkat ketara tetapi ia hanya tertumpu di kawasan pusat peranginan seperti di kawasan pantai dan tanah tinggi.

“Tempahan bilik hotel di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur tidak begitu meriah walaupun ada peningkatan,” katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah beberapa cuti perayaan seperti Deepavali turut menyumbang kepada penambahan tempahan bilik hotel di seluruh negara.

Pulau Pinang, Negeri Sembilan tempat tumpuan

Bagi Presiden Kumpulan Lexis Hotel Mandy Chew Siok Cheng, peningkatan mendadak tempahan bilik di rangkaian hotelnya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mendapat dorongan ekoran kebenaran merentas negeri yang diumumkan pada awal Oktober lalu.

Katanya, selain bilik penginapan, tempahan bilik dan dewan untuk menganjurkan mesyuarat, seminar, kursus latihan serta majlis di hotel turut melonjak sekali gus memeriahkan kembali suasana di rangkaian hotel tersebut.

“Jelas sekali kebenaran merentas negeri mendorong permintaan tinggi terhadap industri pelancongan dan perhotelan.

“Rakyat Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk bercuti sambil meluangkan masa dengan keluarga dan kenalan rapat yang lama terpisah akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, kumpulan Lexis Hotel menjangkakan tempahan bilik mencecah hampir 90% kapasiti setiap hujung minggu akan datang.

Mengulas mengenai prestasi industri perhotelan, Yap berkata, ia sememangnya dilihat semakin pulih, bagaimanapun tidak akan mencapai kapasiti penuh tanpa kehadiran pelancong asing.

Katanya, industri itu akan terus dikuasai pelancong domestik sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun akan datang sehingga pembukaan sempadan antarabangsa.

“Berdasarkan survei kami, industri perhotelan Malaysia mempunyai campuran pasaran 55% penghunian domestik dan 45% antarabangsa.

“Hotel sudah mula mengambil pekerja semula, tetapi keadaan yang tidak sama seperti sebelum penularan Covid-19. Justeru, hotel-hotel beroperasi dengan jumlah kakitangan yang kurang berbanding sebelum ini,” katanya.

Hotel bajet ketinggalan dalam belanjawan

Ditanya mengenai peruntukan yang disediakan kerajaan sempena pengumuman Belanjawan 2022 baru-baru ni, Emmy turut meluahkan rasa kecewa apabila pihak MyBHA tidak dipanggil berbincang bersama kerajaan.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan memberi geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah kementerian pelancongan, seni dan budaya serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar dengan peruntukan RM30 juta.

“Saya tidak tahu bagaimana kerajaan keluarkan angka ini kerana MyBHA tidak dipanggil dalam libat urus berkaitan belanjawan oleh kementerian kewangan.

“Secara keseluruhan, kami agak kecewa dengan Belanjawan 2022 kerana ia dilihat tidak memberi kesan positif jangka panjang kepada sektor perhotelan,” katanya.

Tambah Emmy, kerajaan diharap akan pertimbang semula peruntukan kepada industri hotel dan sektor pelancongan kerana ramai dalam kalangan pengusaha hotel bajet mengalami kerugian besar ketika pelaksanaan PKP.

“Malah, ada yang sudah beralih bidang dan tidak mahu kembali ke industri ini kerana bimbang perkara sama akan berulang pada masa hadapan.

“Ahli yang berhasrat untuk kembali beroperasi pula berdepan masalah kakitangan. Ia kerana proses pengambilan pekerja memerlukan latihan , jadi ia menelan kos yang begitu tinggi dan mereka tidak mampu,” katanya.