- Iklan -
Berita

PRN Melaka: Bersatu, PAS bakal bertembung Umno di 19 kerusi

Perikatan Nasional bakal meletakkan lima calon dari Gerakan di mana empat daripadanya bakal bertembung dengan MCA dan DAP.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (tengah) hadir pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Melaka. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (tengah) hadir pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Melaka. Gambar: Bernama

Bersatu dan PAS akan bertembung dengan Umno di 19 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan pengumuman calon dua parti itu di bawah logo Perikatan Nasional (PN).

PN juga bakal meletakkan lima calon Gerakan, di mana empat calon parti itu bakal bertembung dengan musuh tradisinya dari DAP dan MCA.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah bakal dipertaruhkan di Tanjong Bidara.

Beliau bakal bertembung dengan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan calon PKR, Zainal Hassan.

Mas Ermieyati merupakan bekas ketua Puteri Umno yang keluar parti menyertai Bersatu pada 2018, beliau juga disebut-sebut secara meluas bakal menjadi calon ketua menteri PN di negeri itu.

Pengumuman calon PN diadakan dengan kehadiran seluruh presiden parti komponen gabungan itu termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berucap secara dalam talian.

Secara keseluruhan, Bersatu bakal bertanding di 15 kerusi, disusuli PAS (8) dan Gerakan (5).

Pertembungan antara PN dan Umno yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) adalah berpunca daripada keputusan parti itu yang memutuskan kerjasama dengan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin digulingkan daripada pentadbiran Putrajaya Ogos lalu, susulan beberapa siri penarikan sokongan beberapa ahli Parlimen Umno yang didalangi presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Bercakap pada sidang media, Muhyiddin berkata pertembungan itu sebetulnya boleh dielakkan, namun Umno sendiri yang memilih tidak mahu bekerjasama dengan PN walaupun kedua-dua parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Ada beberapa usaha dibuat sebaik mungkin untuk elak pertembungan, tapi mereka sudah buat keputusan bertanding di bawah BN. Itu adalah keputusan mereka,” katanya.

Beliau berkata, rekod kerajaan PN di peringkat pusay boleh dijadikan rujukan oleh pengundi-pengundi di Melaka.

“Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa jua perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.

“Saya tidak berniat untuk mendabik dada, tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.