- Iklan -
Berita

Larangan 2 minggu perjalanan masuk keluar ke Melaka kelegaan buat sesetengah pimpinan Umno?

Langkah tersebut boleh menyekat menteri dan pemegang jawatan kanan kerajaan daripada menyertai kempen PRN Melaka.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Umno bakal bertembung PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka. Gambar: Bernama
Umno bakal bertembung PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka. Gambar: Bernama

Pihak berkuasa dijangka bakal menghentikan pergerakan penduduk Melaka daripada memasuki negeri itu menjelang penamaan calon pada Isnin, menjadikannya sebagai satu masalah kepada beberapa ahli politik kanan yang perlu masuk ke negeri itu hari ini dan terpaksa berkampung di sana selama dua minggu untuk berkempen, MalaysiaNow difahamkan.

Ia susulan garis panduan yang dikeluarkan kerajaan, di mana ia mengenakan 15 hari larangan keluar masuk berkuat kuasa hari ini terhadap sesiapa yang bukan pengundi berdaftar untuk memasuki negeri tersebut.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan jabatan kesihatan negeri itu akhir bulan lalu, larangan melakukan perjalanan tersebut bermula dua hari sebelum hari penamaan calon dan berakhir pada hari pengundian pada 20 November depan.

Satu sumber rapat dengan beberapa pemimpin kanan Umno dan Bersatu berkata langkah tersebut berkesan untuk menyekat menteri dan pegawai kanan jabatan daripada turut menyertai kempen pilihan raya.

“Anggota Kabinet terutama perdana menteri tidak akan boleh berkampung di sebuah negeri pada satu-satu masa kerana kerja mereka,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, garis panduan tersebut membenarkan perjalanan kecemasan ke Melaka dengan kebenaran polis.

Ia juga turut mengecualikan pengundi yang tidak divaksinasi dari luar Melaka yang bakal mengundi pada 20 November, walaupun kumpulan tersebut mendapat kebenaran istimewa, namun ia tetap dihadkan bagi sehari sebelum dan sehari selepas mengundi.

Bagaimanapun, sumber Umno tersebut berkata sebahagian ahli politik kanan sedang mencari jalan untuk mengelak sekatan-sekatan tersebut namun katanya ada juga dalam kalangan mereka yang “senyap-senyap gembira dengannya”.

“Ada juga yang sudahpun berspekulasi bahawa garis panduan tersebut adalah satu kelegaan yang sangat disenangi bagi sebahagian pemimpin kanan Umno yang tidak selesa untuk menyertai kempen parti mereka kerana meletakkan situasi bercanggah dengan pemimpin Bersatu,” tambahnya.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan dilema yang dihadapi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tentang apakah beliau harus hadir di Melaka sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

Ismail yang perlu mematuhi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut dilaporkan menghadapi tekanan untuk turut menyertai kempen.

Seorang sumber dalaman Umno Pahang memaklumkan kepada MalaysiaNow perkara itu akan memdatangkan masalah kepada Ismail memandangkan Umno dilihat bakal bertembung dengan Bersatu dan PAS yang bakal bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN).

Ismail menduduki jawatan utama pentadbiran negara pada Ogos selepas Muhyiddin yang merupakan pengerusi PN merangkap presiden Bersatu membawa sokongan 50 ahli Parlimen daripada gabungan tersebut.

Zahid yang mengetuai kempen untuk menggulingkan Muhyiddin selepas gagal mendapatkan bantuan pemimpin Bersatu itu berhubung kes jenayahnya bertegas agar Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya negeri walaupun mendapat tentangan ketua-ketua Umno Bahagian Melaka.

Situasi tersebut semakin buruk bagi Umno selepas PAS yang merupakan sekutunya dalam Muafakat Nasional bakal bertanding di bawah logo PN.