- Iklan -
Berita

Hadapi stigma, tertekan, petugas barisan hadapan Singapura dapat ganjaran RM12,000

Kerajaan Singapura berkata ia adalah sebuah bentuk penghargaan walaupun ia tidak setimpal dengan pengorbanan dan stigma sosial yang dihadapi oleh petugas kesihatan awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan meneliti kit ujian Covid-19 di sebuah pusat saringan wabak di Singapura. Gambar: Reuters
Petugas kesihatan meneliti kit ujian Covid-19 di sebuah pusat saringan wabak di Singapura. Gambar: Reuters

Kira-kira 100,000 petugas penjagaan kesihatan Singapura bakal menerima durian runtuh S$4,000 (RM12,300) sebagai ganjaran istimewa daripada kerajaan ketika negara itu berdepan lonjakan kes Covid-19 yang setakat ini telah meragut 468 nyawa.

Kerajaan berkata wang itu akan dibayar kepada semua kakitangan penjagaan kesihatan awam yang bertugas di hospital, klinik, rumah penjagaan dan pusat dialisis mulai bulan depan.

Kementerian kesihatan Singapura turut mengumumkan geran sebanyak S$10,000 kepada setiap klinik yang menjadi pusat penerimaan pesakit yang dijangkiti wabak itu di mana ia akan dibahagikan antara kakitangan premis kesihatan terlibat.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata walaupun pemberian ganjaran berbentuk tunai itu tidak setimpal berbanding beban kerja yang dipikul petugas barisan hadapan, ia adalah cara kerajaan menghargai pengorbanan mereka.

Beliau turut menambah golongan petugas kesihatan juga turut berdepan boikot sosial dalam kalangan masyarakat yang bimbang dan tidak mahu dijangkiti pekerja sektor kesihatan ekoran golongan itu terdedah dengan pesakit Covid-19.

“Tugas ini bukan untuk mereka yang lemah semangat. Saya lihat sendiri dengan rasa marah dan malu kelakuan orang tertentu yang menjauhi jururawat dan petugas kesihatan di mana ada yang menjauhi anda, bahkan menolak untuk membenarkan perjalanan anda,” kata Ong seperti dipetik The Straits Times.

“Anda adalah barisan pertahanan terakhir kami – berdiri di antara kami dan jurang. Apabila vaksinasi, pengurusan selamat, terapeutik dan ketahanan badan terakhir pesakit semuanya diserang, anda masih enggan mengalah. Anda berdiri di sebelah pesakit sebagai harapan terakhirnya.”

Singapura yang pernah dipuji kerana mengendalikan wabak dengan baik dan hampir merekodkan sifar kes setiap hari, mula bergelut dengan lonjakan mendadak jangkitan Covid-19 ketika pihak berkuasa mengumumkan pembukaan semula perniagaan dan aktiviti harian pada September.

Kes harian purata Covid-19 di Singapura adalah sekitar 3,000 ini dengan populasi 5.7 juta orang.

Jangkitan baru menurun kepada hanya di bawah 1,800 kes semalam mungkin disebabkan kekurangan ujian saringan semasa cuti umum Deepavali.

Sembilan lagi kematian pada hari Jumaat direkodkan menjadikan jumlah kematian di Singapura sebanyak 468 korban, satu peningkatan mendadak sejak pertengahan September.