- Iklan -
Berita

PN tumpu beri khidmat terbaik berbanding kerusi dalam PRN Sarawak

Jaziri berkata politik khidmat dan matang telah lama diamalkan Perikatan Nasional dalam membantu rakyat Sarawak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
PRN Sarawak bakal menyusuli PRN Melaka selepas Agong berkenan menamatkan darurat yang telah menunda ia diadakan sebelum ini. Gambar: Bernama
PRN Sarawak bakal menyusuli PRN Melaka selepas Agong berkenan menamatkan darurat yang telah menunda ia diadakan sebelum ini. Gambar: Bernama

Memberikan khidmat terbaik adalah lebih penting dari bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Perikatan Nasional (PN) tidak berapa lama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar.

Pengerusi PN Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah bagaimanapun berkata, soal pembahagian kerusi diserahkan kepada pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin dan pengerusi GPS Ababng Johari Openg.

“PN Sarawak bersedia untuk berhadapan dengan PRN ini kerana pihak kami melaksanakan khidmat untuk rakyat tanpa perlu menunggu PRN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Konsep politik kami jelas iaitu politik khidmat dan politik matang adalah menjadi pegangan kerana yang perlu diutamakan adalah rakyat Sarawak dan ia melangkaui PRN.”

Jaziri turut berkata kerajaan Sarawak yang dipimpin Abang Johari memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

“Oleh itu saya berharap adalah wajar bagi kita memberi sokongan kepada beliau sekali lagi untuk meneruskan perkhidmatan dan agenda pembangunan untuk semua rakyat Sarawak.”

Dalam pada itu, Jaziri turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan PRN dalam situasi Covid-19 dan mengingatkan keadaaan ketika ini berbahaya selain berharap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan kadar segera.

“Yang penting soal keselamatan dan SOP perlu jelas dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana kita baru sahaja kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menamatkan darurat di Sarawak, memberi laluan kepada PRN yang tertangguh berikutan situasi Covid-19.