- Iklan -
Berita

GPS bincang pembahagian kerusi antara komponen, kata Abang Johari

Menurut Abang Johari, masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon gabungan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata pengerusinya, Abang Johari Openg.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon pakatan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

“Tunggu dulu, kita baru sahaja bubarkan (Dewan Undangan Negeri) jangan terburu-buru,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).