- Iklan -
Berita

AS jual peluru berpandu canggih kepada Arab Saudi

Pembelian peluru berpandu itu adalah demi mempertahankan Arab Saudi daripada serangan puak Houthi Yaman.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Arab Saudi membeli peluru berpandu dari Amerika Syarikat demi memperkukuhkan pertahanan daripada serangan puak houthi di Yaman. Gambar: AP
Arab Saudi membeli peluru berpandu dari Amerika Syarikat demi memperkukuhkan pertahanan daripada serangan puak houthi di Yaman. Gambar: AP

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan peluru berpandu “udara ke udara” pada Khamis bernilai AS$650 juta (RM2.7 bilion) bagi membantu Arab Saudi melindungi negaranya daripada serangan dron.

Kelulusan penjualan itu membolehkan Arab Saudi membeli sehingga 280 peluru berpandu canggih jarak sederhana AIM-120C serta peralatan berkaitan, selain turut membenarkan negara itu menambah bekalan peluru sedia ada.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata Arab Saudi dibenarkan untuk menggunakan peluru berpandu yang dibelinya bagi memintas pesawat tanpa pemandu yang mengancam tentera Arab Saudi dan AS di negara itu, terutama serangan dari Yaman.

“Kami melihat ada peningkatan serangan rentas sempadan terhadap Arab Saudi sepanjang tahun lalu,” kata jurucakap itu.

Arab Saudi mengetuai perjuangan menentang pemberontak Houthi di Yaman yang disokong Iran.

Pegawai AS itu turut berkata Iran sudah membekalkan dron dan teknologinya kepada Yaman.

Urus niaga itu dibuat ketika pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyokong Arab Saudi berikutan kebimbangan taktik keras mereka terhadap Houthi serta pencabulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Negara AS menegaskan peluru berpandu yang dibeli Arab Saudi itu tidak boleh digunakan terhadap sasaran di darat.

Menurutnya, jualan peluru berpandu itu “mesti sepenuhnya konsisten dengan ikrar pentadbiran untuk melakukan usaha diplomasi bagi menamatkan konflik di Yaman selain memastikan Arab Saudi dapat mempertahankan negaranya daripada serangan udara Houti.”