Saturday, December 4, 2021

5 lagi negeri Fasa 3 beralih fasa akhir PPN

Perlis, Perak, Penang, Sabah dan Kedah bakal beralih ke Fasa Empat sementara Sarawak dan Kelantan masih di Fasa Tiga PPN.

Other News

Lima negeri berstatus Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Perlis, Perak, Penang, Sabah dan Kedah bakal beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 8 November.

Pengumuman Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein tersebut adalah susulan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan mengambil kira penilaian risiko oleh kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi mkn.gov.my,” kata Hishammuddin dalam sebuah kenyataan.

Sehubungan itu, hanya Kelantan dan Sarawak sahaja yang masih berstatus Fasa Tiga ketika ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen.

Katanya urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal bagi mengelak pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.

Beliau berkata Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan hal lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di Pelabuhan Klang.

Hishammuddin berkata berkuat kuasa 8 November ini juga, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan syarat ini dimasukkan dalam SOP.

Katanya kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang belum/tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan ketika ini, aktiviti makan serta minum di dalam stadium juga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini turut meluluskan pelaksanaan peralihan pengurusan stesen kuarantin hotel kepada stesen kuarantin swasta bermula tujuh hari selepas kelulusan.

Menurut Hishammuddin, pengurusan stesen kuarantin adalah berdasarkan Garis Panduan Pembukaan, Pengoperasian dan Pemantauan Stesen Kuarantin Swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kutipan kos operasi Covid-19 berjumlah RM2,600 bagi setiap pengembara bukan warganegara dimansuhkan manakala caj bagi stesen kuarantin masih berkuat kuasa dan caj yang dikenakan stesen kuarantin swasta adalah pada kadar yang sama (pakej standard) seperti sebelum ini yang berkuat kuasa pada 15 November 2021,” katanya.

Beliau berkata kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan caj kuarantin ditanggung oleh kerajaan dan ujian ulangan saringan pengesanan Covid-19 diselaraskan oleh KKM menerusi jabatan kesihatan negeri/daerah yang berkaitan.

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran yang diberikan dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Katanya paling penting dalam membantu usaha kerajaan #ReopeningSafely, semua pihak amat digalakkan untuk mengamalkan TRIIS iaitu “test, report, isolate, inform and seek” atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera dengan sebaik mungkin demi keselamatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles