- Iklan -
Berita

Umno akan kalah PRN Melaka tanpa PAS, kata penganalisis

Mereka berkata pertembungan tiga penjuru akan menguntungkan Pakatan Harapan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.

Umno sukar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa PAS selepas parti Islam itu memutuskan untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Martadha Mohamed dari UUM berkata pertembungan tiga penjuru terutama di kawasan majoriti Melayu dijangka akan memberi kesan kepada Umno dan PN kerana ia akan memecah belahkan undi.

“Ini sangat jelas kerana sudah berlaku sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pertembungan antara PAS, Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan memanfaatkan PH sebab undi Melayu akan berpecah, tetapi undi bukan Melayu akan pergi ke PH.”

Dalam satu kenyataan pada Isnin Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya akan bertanding PRN Melaka menggunakan logo PN.

Kenyataan Hadi itu memberikan tamparan kepada Umno yang sebelum ini meletakkan syarat hanya akan bekerjasama sekiranya PAS menggunakan logo sendiri semasa PRN Melaka.

Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata keadaan semasa menunjukkan akan berlaku pertembungan tiga penjuru, namun ia tidak bermakna PH akan berdepan laluan mudah.

“PH pula kini agak berpecah kerana DAP sangat tidak berpuas hati dengan Amanah dan terdapat ketidakpuasan hati terhadap Anwar Ibrahim apabila cuba memasukkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika selesai masalah ini, maka PH akan mempunyai kelebihan.”

Mengulas mengenai keputusan PAS Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu.

“Mereka masih mempunyai enam hari sebelum tarikh penamaan calon untuk berbincang dan membuat keputusan sama ada akan jadi kawan atau lawan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Malah, PAS hanya membuat keputusan untuk menggunakan logo PN, ini tidak bermakna mereka akan tolak Umno. Mungkin PAS akan kerjasama dengan Umno menerusi PN.”

Bagaimanapun, Chin berpendapat keadaan ini memberikan kesan terhadap hubungan antara Umno dan PAS.

“PAS sedang memanfaatkan hubungan dengan PN dan Umno. Kini mereka tersangkut dan terpaksa memilih satu daripada mereka.

“Nampak gaya PAS akan pilih PN, tetapi ini bukanlah satu jaminan kerana ada juga beberapa pimpinan PAS yang ingin gunakan logo PAS,” katanya dan menambah keputusan muktamad hanya akan diketahui pada hari penamaan calon.

Tambahnya, perkara ini bukanlah satu kejutan bagi Umno kerana parti itu lebih terdahulu sudah menyuarakan beberapa pandangan mereka untuk bertanding secara solo.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Adun kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.