- Iklan -
Berita

PN sambut baik keputusan PAS guna logo bersama dalam PRN Melaka

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata ia menunjukkan semangat muafakat antara parti-parti dalam gabungan tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN).

Ketua Penerangan PN Azmin Ali berkata keputusan PAS tersebut mencerminkan semangat muafakat yang utuh di kalangan parti-parti anggota gabungan itu.

“Mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara, PN bertekad untuk menggembeleng kesatuan bagi menjamin kestabilan kerajaan serta kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif demi kemaslahatan sosio ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“PN yakin dan percaya bahawa rakyat negeri Melaka cukup matang dan bijaksana untuk mendukung wadah PN yang senantiasa menganjurkan perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.”

1 November lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu bakal bertanding dalam PRN Melaka menggunakan logo PN, memberikan tamparan kepada Umno yang tidak mahu bertembung dengan parti Islam itu pada pilihan raya yang bakal diadakan 20 November depan.

“Ketetapan ini mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” katanya.

Keputusan untuk bertanding di bawah PN dilihat satu lagi komitmen PAS dengan gabungan yang dipimpin Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri dan juga presiden Bersatu yang digulingkan daripada tampuk pentadbiran pada Ogos lalu susulan pembelotan yang dirancang beberapa pemimpin tertinggi Umno.

PAS merupakan parti komponen gabungan PN, namun ia juga turut memeterai piagam kerjasama dengan Umno ketika kedua-dua parti tersebut menjadi pembangkang sewaktu pentabiran PH di Putrajaya.

Keputusan tersebut juga timbul selepas kepimpinan Umno berkata parti itu akan bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, namun memutuskan untuk bertembung dengan calon-calon dari Bersatu.

Selain itu, Umno berkata kerjasama dengan PAS akan dilakukan dengan syarat parti Islam itu menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka.