- Iklan -
Berita

PAS guna logo PN tidak jejas hubungan, kata Umno Melaka

Umno khuatir tindakan PAS untuk bersama Bersatu di bawah PN membawa kegagalan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Umno yang sebelum ini mahu bertanding PRN Melaka secara solo kini mahu bekerjasama dengan PAS.
Umno yang sebelum ini mahu bertanding PRN Melaka secara solo kini mahu bekerjasama dengan PAS.

Tindakan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini tidak menjejaskan hubungan parti itu dengan Umno di bawah Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad berkata parti itu sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan PAS ke arah mencari kebaikan, perdamaian dan kekuatan ummah bagi penyatuan umat Islam di negara ini.

“Umno tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS. Kita pun tidak tahu apa sebab PAS bertindak sedemikian tetapi kita yakin dan percaya keseluruhan ahli PAS mengharapkan supaya satu titik pertemuan yang baik akan berlaku antara Umno dan PAS bagi membela umat Islam terutama orang Melayu di dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sistem Pintar Kawalan Trafik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini hari ini.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka selepas perkara itu diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu berkata tindakan PAS untuk bersama Bersatu di bawah PN dikhuatiri membawa PAS ke arah kegagalan.

Bagaimanapun beliau berkata Umno Melaka tidak berdukacita dengan tindakan PAS kerana ia telah bersedia untuk menghadapi PRN Melaka bersama parti komponen lain dalam Barisan Nasional.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat ahli DUN (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).