- Iklan -
Berita

Kerajaan komited jadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah

Cadangan pindaan undang-undang mengenai perkara tersebut dijangka akan dibentang di Parlimen pada Disember depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin. Gambar: Bernama

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan memberikan komitmen terhadap usaha menjenayahkan perbuatan menghendap atau “stalking” selain cadangan pindaan undang-undang mengenainya dijangka akan dibentang di Parlimen pada Disember depan.

Menurutnya, usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah bermula sejak tahun 2019 di mana satu Jawatankuasa Anti-Stalking ditubuhkan.

“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, beliau bermesyuarat dengan beberapa kementerian, jabatan, NGO dan ahli akademik sebagai tindakan susulan berhubung usaha tersebut.

Katanya, dalam mesyuarat tersebut tiga mangsa perbuatan itu turut berkongsi pengalaman dan masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang undang-undang sedia ada.

“Women’s Aid Organisation (WAO) juga menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, menggesa kerajaan segera menjenayahkan menghendap.

“Kertas dasar berserta cadangan pindaan undang-undang dijangka untuk dibentangkan di jemaah memteri pada bulan Disember 2021 dan pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen.

“Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebelum pindaan undang-undang tersebut dibentangkan kepada jemaah menteri, pertemuan bersama wakil rakyat, agensi-agensi kerajaan dan NGO berkaitan akan diadakan untuk memberikan gambaran kepada orang ramai supaya isu dan kesannya kepada masyarakat lebih difahami