- Iklan -
Berita

Kajian KKM tidak syor ivermectin untuk rawatan Covid, kata KP kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata ivermectin hanya disarankan untuk kegunaan ujian klinikal dengan pemantauan sahaja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ivermectin merupakan sejenis ubat anti parasit yang digunakan bagi rawatan beberapa penyakit tropika. Gambar: AFP
Ivermectin merupakan sejenis ubat anti parasit yang digunakan bagi rawatan beberapa penyakit tropika. Gambar: AFP

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata kementerian kesihatan (KKM) tidak mengesyorkan ivermectin dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ia dianggap tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata KKM hanya menyarankan ivermectin digunakan hanya dalam kajian klinikal dengan pemantauan selepas kajian keberkesanan Ivermectin untuk pesakit Covid-19 berisiko tinggi (I-Tech) dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR).

“Keputusan I-Tech juga selari dengan kajian berskala besar seperti Ivercor-Covid19 dari Argentina dan Together dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

“Diharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19,” jelasnya.

Kajian I-Tech melibatkan 500 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan Kategori Dua atau Tiga. Kajian klinikal tersebut menilai keberkesanan rawatan lima hari ivermectin (0.4mg/kg/hari) dengan pambahagian dua kumpulan di 20 hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 Maeps 2.0.

“(Satu kumpulan) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan (kumpulan yang) hanya berserta penjagaan standard (kumpulan SOC)”

Ia juga dijalankan oleh pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH).

“Hasil utama kajian I-Tech adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap yang teruk (Kategori Empat atau Lima), iaitu di kalangan pesakit berumur 50 tahun dan ke atas, serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi,” kata Noor Hisham.

Katanya, 500 subjek yang didaftarkan dalam kajian ini, seramai empat individu telah dikecualikan kerana tidak memenuhi kriteria kajian, manakala seramai enam individu telah menarik diri atas sebab kebimbangan terhadap kesan sampingan ivermectin.

Menurut Pengarah ICR, Dr Kalaiarasi Peariasamy kajian tersebut telah menunjukkan kadar kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam Kumpulan IVM jika dibandingkan dengan Kumpulan SOC, iaitu masing-masing pada 21.2% dan 17.3%.

Kajian tersebut mendapat kelulusan Jawantankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan pada 25 Mei lalu.

Ia juga telah didaftarkan di ClinicalTrials.gov pada 31 Mei bagi mendedahkan maklumat penting berkenaan kajian I-Tech kepada umum.