- Iklan -
Berita

Gagal pastikan keselamatan di tapak bina, syarikat pembinaan SUKE didenda RM45,000

Hakim menjatuhkan hukuman terhadap syarikat pembinaan itu yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya Sim Li En, selaku orang kena saman.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Salah satu tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di mana tiga orang pekerja warga China meninggal dunia dalam insiden Mac lalu. Gambar: Bernama
Salah satu tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di mana tiga orang pekerja warga China meninggal dunia dalam insiden Mac lalu. Gambar: Bernama

Syarikat pembinaan Zhongshi International Sdn Bhd didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan kematian tiga pekerjanya di tapak pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Mac lepas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman terhadap syarikat pembinaan itu yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya Sim Li En, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan.

Dia membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya dengan tidak memastikan pengendalian komponen kren gantri yang selamat semasa kerja-kerja penyenggaraan sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga pekerja warga China, Wu Tongzheng, Ding Kunfu dan Jiang Jinbao.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 3PT39 sehingga 3PT41, Pakej CA3, Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) CH4200 sehingga CH7800 Jalan Alam Damai, pada 8.45 pagi, 22 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Sim yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan syarikatnya telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan berlaku di tempat kerja selain akan memastikan kesalahan tersebut tidak berulang.

Pegawai pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdul Rahim Sabri memohon hukuman denda maksimum terhadap syarikat tersebut.

“Kes ini merupakan kemalangan berprofil tinggi sehingga mendapat liputan media selain telah melibatkan kematian tiga nyawa.

“Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum agar menjadi pengajaran kepada OKS dan majikan lain supaya mereka dapat memastikan operasi jentera yang selamat dan mengurangkan risiko kemalangan semasa kerja,” katanya.

Pada 22 Mac lepas, media melaporkan tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras.