- Iklan -
Berita

KPM perhalusi sesi persekolahan 2023 berpandukan perancangan 2022, kata menteri

Sesi persekolahan 2023 hanya akan bermula pada Mac tahun depan selepas sesi tahun ini dilanjutkan sehingga Februari.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang bapa berkata sesuatu kepada anaknya semasa menghantar anak ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang.
Seorang bapa berkata sesuatu kepada anaknya semasa menghantar anak ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata kementerian pendidikan (KPM) telah memperhalusi sesi persekolahan bagi 2023 dan seterusnya dengan sesi 2022 dijadikan sebagai panduan perancangan dan pengoperasian sekolah akan datang.

Menurutnya, seperti yang diumumkan sebelum ini, sesi persekolahan bagi 2021 akan dilanjutkan dan tamat pada Februari 2022 sementara sesi tahun depan hanya akan bermula pada Mac.

“KPM telah memperhalusi kesesuaian takwim persekolahan untuk tahun 2023 dan seterusnya.

“Oleh itu, sesi persekolahan tahun 2022 yang bermula pada bulan Mac akan dijadikan sebagai panduan untuk perancangan pengoperasian sekolah akan datang,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Radzi berkata ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga bulan Februari tahun 2022 adalah untuk membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid mengikuti tahun persekolahan berikutnya.

Selain itu, Radzi turut berkata pelanjutan tersebut adalah bagi membolehkan murid Tingkatan 5 tahun 2021 mendapat peluang dan persediaan yang secukupnya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada Mac 2022.

Semalam, sesi persekolahan secara bersemuka mula dilaksanakan di seluruh negeri mengikut peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Keputusan pembukaan sekolah secara bersemuka juga turut diambil dengan penilaian kadar vaksinasi 90% di setiap sekolah dengan kemas kini dilakukan pada setiap Rabu.

Berhubung SOP, Radzi berkata pada September lalu, murid sekolah kini diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam kawasan sekolah.

“Ketika waktu rehat, semua murid akan makan di dalam kelas semasa waktu rehat dengan seliaan guru, manakala kelas yang menggunakan penyaman udara, murid akan makan di ruang terbuka.”

Sementara itu, katanya, murid yang bergejala dari rumah tidak dibenarkan hadir ke sekolah dan jika didapati bergejala ketika di sekolah, ujian saringan Covid-19 akan dilaksanakan.

“Aktiviti kokurikulum tidak dibenarkan, bagaimanapun kelas PJPK dibenarkan dan murid hendaklah berpakaian sukan dari rumah,” katanya.