- Iklan -
Berita

Korban Covid-19 cecah 5 juta di seluruh dunia

Angka terbaru itu dicatat selepas empat juta kematian direkodkan hampir empat bulan lalu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli keluarga melihat kubur mangsa Covid di Jawa Barat, Indonesia. Gambar: AP
Ahli keluarga melihat kubur mangsa Covid di Jawa Barat, Indonesia. Gambar: AP

Jumlah korban akibat pandemik Covid-19 kini mencecah lima juta mangsa di seluruh dunia sejak wabak itu tercetus di China hampir dua tahun lalu, menurut satu data rasmi yang dikumpul AFP.

Angka korban itu dicatat semalam, menyusuli rekod empat juta kematian hampir empat bulan lalu, namun angka itu bertambah pada kadar lebih perlahan berikutan vaksinasi global melibatkan berbilion penduduk dunia.

Dalam pada itu, angka korban harian di seluruh dunia menurun kepada bawah 8,000 bagi kali pertama dalam tempoh hampir setahun, awal Oktober lalu.

Bagaimanapun pada Khamis, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, dilaporkan berkata penularan wabak itu sedang meningkat di Eropah.

Dalam kalangan 52 negara dan wilayah membentuk rantau Eropah berdasarkan WHO, sebahagian besar peningkatan angka korban disumbangkan dari timur.

Rusia yang dikatakan berdepan masalah ramai penduduknya meragui vaksin, mencatat rekod baru angka kes harian dan kematian, dengan purata lebih 1,000 korban sehari sejak 20 Oktober lalu.

Menurut data kerajaannya, Rusia mencatat 239,693 kematian, setakat semalam.

Bagaimanapun, agensi statistik nasional, Rosstat yang memantau angka korban Covid-19 dengan cakupan lebih luas, menyatakan jumlah kematian sudah mencecah hampir 450,000, setakat akhir September lalu.

Selepas Rusia, Ukraine dan Romania adalah dua lagi negara di Eropah yang merekodkan angka harian korban tertinggi – masing-masing dengan purata 546 dan 442 kematian sehari sejak tujuh hari lalu.

Amerika Latin dan Caribbean pula muncul sebagai rantau yang mencatat jumlah kematian tertinggi di dunia, iaitu 1,521,193 kes setakat ini.

Namun, angka kematian yang berada di paras 840 kes ketika ini, menunjukkan penurunan sejak Mei lalu.

Sementara itu di Amerika Syarikat (AS) pula, lebih 1,400 kematian direkodkan setiap hari secara purata sejak tujuh hari lalu, menurun 15% berbanding minggu sebelum itu.

Setakat ini, jumlah kematian akibat Covid-19 di AS sudah mencecah 746,747 kes.

WHO menganggarkan jumlah sebenar keseluruhan korban pandemik itu berkemungkinan dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada rekod rasmi, susulan lebihan kematian yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan Covid-19.

Begitupun, ia masih lebih rendah berbanding pandemik lain yang pernah melanda dalam sejarah dunia, seperti selesema Sepanyol yang meragut 50-100 juta nyawa antara 1918 hingga 1919.