- Iklan -
Berita

Kes aktif Covid Malaysia catat trend penurunan

Kes baru juga menunjukkan trend penurunan walaupun kadar kematian meningkat berbanding minggu epidemiologi sebelum ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli Temuan melakukan ujian saringan RTK-Antigen secara percuma oleh pasukan kesihatan Klinik Selcare di Desa Temuan, Bukit Lanjan.
Orang Asli Temuan melakukan ujian saringan RTK-Antigen secara percuma oleh pasukan kesihatan Klinik Selcare di Desa Temuan, Bukit Lanjan.

Malaysia merekodkan trend penurunan melibatkan purata kes aktif Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-43 (dari 24 hingga 30 Oktober).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata purata kes aktif menunjukkan penurunan 15% kepada 70,829 kes  pada ME ke-43 daripada  83,605 kes pada ME ke-42 (13 hingga 23 Oktober)

“Penurunan kes aktif ini dilihat sejak lapan  minggu lepas. Selain itu, kes baru Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 2.2% iaitu daripada 41,508 kes (ME ke-42) kepada 40,613 kes (ME ke-43).

Walau bagaimanapun, kadar kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2% berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (ME ke-42),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang  memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan 12%  daripada 571 kes sepanjang ME ke-42 kepada 505 kes.

Menurutnya kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4% iaitu 250 kes kepada 214 kes.

Penurunan kes yang memerlukan bantuan pernafasan dilihat sejak 11 minggu lepas, katanya.

Selain itu, beliau berkata Kelantan, Putrajaya dan Melaka melaporkan kadar insiden kes tertinggi bagi setiap 10,000 penduduk.

Dalam pada itu, 46 kluster yang dilaporkan pada ME ke-43 melibatkan 25 tempat kerja, pusat pendidikan (sembilan), komuniti (tujuh) dan kumpulan berisiko tinggi (lima).

“Terdapat peningkatan kluster institusi pendidikan susulan pembukaan semula institusi-institusi pengajian tinggi secara bersemuka bermula ME-41,” katanya.

Mengenai kapasiti hospital, Dr Noor Hisham memaklumkan kementerian kesihatan (KKM) memperuntukkan 26,522 katil di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), 14,963 katil wad biasa, 1,345 katil wad ICU dan 2,804 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit Covid-19, kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Katanya penggunaan katil di PKRC dan katil di wad biasa dan ICU menunjukkan trend penurunan sekitar dua hingga enam peratus pada ME ke-43 berbanding ME ke-42.