Saturday, November 27, 2021

Beri kelonggaran murid tidak pakai pakaian seragam sekolah, kata menteri

Masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk pelajar mengenakan pakaian seragam lengkap.

Other News

Pihak sekolah sekali lagi diingatkan agar memberi kelonggaran kepada pelajar yang hadir ke sekolah untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah, sebaliknya memadai memakai pakaian kemas dan sopan.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata perkara itu telahpun dinyatakan sebelum ini, namun masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk pelajar mengenakan pakaian seragam lengkap.

“Apabila sekolah mula dibuka mengikut ketetapan fasa di beberapa buah negeri seperti di Klang, Melaka, kita menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan ada sekolah meminta supaya anak-anak memakai uniform sekolah walaupun ada uniform ketat, kasut dah ketat.

“Jadi saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa  pihak kementerian sebelum ini telah nyatakan bahawa untuk tempoh sehingga akhir persekolahan tahun ini, kita benarkan murid-murid memakai pakaian yang bersesuaian serta sopan dan kemas, itu paling penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor hari ini.

Beliau berkata pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar berikutan kekangan yang dihadapi ibu bapa susulan pembukaan sekolah di waktu pandemik Covid-19 terutamanya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua sekolah di negeri yang akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara harus memberi perhatian khusus terhadap aspek pengudaraan termasuk di dalam bilik guru.

“Pengudaraan itu perlu diberi perhatian khusus. Awal dulu ramai agak keliru tetapi akhir ini hampir semua pihak dapat memahami bahawa kepentingan untuk kita pastikan pengudaraan di sekolah berlaku pada tahap paling optimum.

“Bilik darjah nampak dah selesai cuma di bilik guru, kadang-kadang bilik guru yang menggunakan penghawa dingin sebagai contoh sebaiknya diusahakan supaya ada pengudaraan… dibuka tingkap bagi membolehkan keadaan yang lebih selamat bagi guru-guru,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pengambilan guru secara “one-off” bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru, Radzi berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi Fasa Satu.

Radzi berkata, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek-subjek penting di sekolah serta mereka yang mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

“Fasa 1 telah dipilih dan kita tidak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek. Subjek mana pergi dulu serta keutamaan kepada graduan pendidikan.

“Setelah keutamaan ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik, kerana itu kita buat secara berperingkat. Ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles