- Iklan -
Berita

Pertikaian dalaman PH semakin hangat berhubung 4 Adun Melaka

Pemimpin DAP Ramkarpal Singh berkata penerimaan PH terhadap empat Adun itu boleh mencetuskan tindak balas negatif daripada penyokong gabungan itu, terutamanya ketika ia sedang mendesak undang-undang anti-lompat parti diwujudkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat Adun menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri. Gambar: Bernama
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat Adun menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri. Gambar: Bernama

Pemimpin DAP Ramkarpal Singh mula menyerang Anwar Ibrahim selepas presiden PKR itu membela empat orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri, ketika pertikaian dalaman Pakatan Harapan (PH) semakin hangat menjelang pilihan raya pada 20 November akan datang.

Ramkarpal mempersoalkan pembelaan Anwar terhadap kuartet tersebut, walaupun pendukung setia pengerusi PH itu berkeras Amanah yang mahu PH meletakkan mereka sebagai calon.

Anwar mencadangkan empat Adun yang turut termasuk dua bekas Adun PH tidak sepatutnya dilihat sebagai antara dalang Langkah Sheraton yang menyebabkan PH digulingkan dari tampuk pemerintahan Putrajaya pada 2020.

Namun Ramkarpal, yang mengeruai biro undang-undang DAP dan turut bertindak sebagai peguam Anwar berkata adalah salah untuk mengatakan keempat-empat Adun tersebut menarik sokongan terhadap ketua menteri itu bagi mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang dipimpin PH sebelum ini.

“Menerima mereka adalah satu langkah yang salah dilakukan PH di mana ia mungkin akan menyebabkan pengundi marah dalam PRN Melaka akan datang selain akan menjejaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan ia mesti dielakkan,” katanya.

Beliau juga berkata dakwaan kononnya pembelotan empat Adun terhadap kerajaan negeri itu adalah untuk mengembalikan mandat rakyat adalah sebuah sangkaan baru.

“Hakikatnya, dua dari empat Adun itu adalah dari Umno dan tidak pernah menjadi sebahagian dari PH.

“Untuk mengatakan dua Adun bukan Umno dari empat orang tersebut tidak terlibat dalam Langkah Sheraton adalah salah kerana jika benar, mereka akan kekal dalam PH selepas langkah itu tahun lalu, namun sebaliknya tidak,” katanya.

Kenyataan Ramkarpal dilihat bercanggah dengan serangan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Presiden Amanah Mohamad Sabu, menuduh beliau mahu PH meletakkan empat Adun itu sebagai calon PRN.

Rafizi juga turut mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin Amanah berhubung isu tersebut sedangkan parti itulah yang mahu PH menerima empat Adun tersebut.

“Diluar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab diluar,” kata Rafizi.

Empat Adun yang mencetuskan pembubaran DUN Melaka tersebut termasuk Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Dalam pada itu, Ramkarpal memberi amaran penyokong akan menghukum PH jika gabungan itu menerima keempat-empat Adun tersebut.

“Saya telah katakan sebelum ini bahawa PH tidak boleh menerima empat orang Adun tersebut, dan dalam masa yang sama mendesak undang-undang anti-lompat parti diwujudkan selaras memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan kerajaan baru-baru ini, kerana tindakan itu tidak selari,” katanya.