- Iklan -
Berita

PAS akan bertanding PRN Melaka guna logo PN

Keputusan tersebut dilihat menempelak gesaan pemimpin Umno yang mahu bekerjasama dengan parti Islam tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
PAS mengambil keputusan untuk bertanding pilihan raya di bawah logo Perikatan Nasional. Gambar: AFP
PAS mengambil keputusan untuk bertanding pilihan raya di bawah logo Perikatan Nasional. Gambar: AFP

PAS bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), memberikan tamparan kepada Umno yang tidak mahu bertembung dengan parti Islam itu pada pilihan raya yang bakal diadakan 20 November depan.

Keputusan tersebut diambil hari ini susulan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sehari selepas Majlis Syura Ulama mengesyorkan supaya pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan.

“Ketetapan ini mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan malam ini.

Semalam, Majlis Syura Ulama PAS yang terdiri daripada ulama kanan parti itu berkata pertandingan dua penjuru dalam PRN Melaka adalah bagi menafikan kemenangan PH.

Keputusan untuk bertanding di bawah PN dilihat satu lagi komitmen PAS dengan gabungan yang dipimpin Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri dan juga presiden Bersatu yang digulingkan daripada tampuk pentadbiran pada Ogos lalu susulan pembelotan yang dirancang beberapa pemimpin tertinggi Umno.

PAS merupakan parti komponen gabungan PN, namun ia juga turut memeterai piagam kerjasama dengan Umno ketika kedua-dua parti tersebut menjadi pembangkang sewaktu pentabiran PH di Putrajaya.

Keputusan hari ini juga timbul selepas empat hari kepimpinan Umno berkata parti itu akan bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, namun memutuskan untuk bertembung dengan calon-calon dari Bersatu.

Selain itu, Umno berkata kerjasama dengan PAS akan dilakukan dengan syarat parti Islam itu menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka.