- Iklan -
Berita

Malaysia sedia keluarkan vaksin Covid-19 sendiri, kata PM

Ismail berkata penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara bakal menyaksikan tiga projek vaksin dihasilkan oleh Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Institut Genom Malaysia hari ini. Gambar:  Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Institut Genom Malaysia hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Malaysia bersedia mengeluarkan vaksin Covid-19 melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).

Menurutnya, selain vaksin Covid-19, vaksin kolera juga sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Saya ingin kongsikan hari ini terdapat tiga projek yang bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN, pertama dua jenis vaksin Covid-19, menggunakan virus yang dilemahkan dan MRNA yang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” kata Ismail ketika pelancaran penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) hari ini.

“Kedua, vaksin kolera dan ketiga projek penilaian pra klinikal vaksin terapeutik kanser untu rawatan kanser kepala dan leher (yang dijalankan) oleh Cancer Research Malaysia (CRM),” tambahnya.

Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) hari ini yang disempurnakan Ismail pagi ini.

Dalam sebuah ciapan Twitter, Ismail berkata penubuhan MGVI mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata ini rangka kerja Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) diyakini mampu membantu mengukuhkan keupayaan Malaysia secara berperingkat dalam usaha pengkomersialan vaksin tempatan.

Katanya, ia akan menyumbang kepada industri bioteknologi, pembangunan modal insan dan bioekonomi negara.

“Rangka Kerja PPVN terbahagi kepada enam bidang keutamaan iaitu tadbir urus, infrastruktur pembuatan vaksin, kajian klinikal, pembangunan modal insan dan perolehan teknologi, pembangunan vaksin serta komunikasi vaksin,” katanya yang turut hadir dalam majlis pelancaran PPVN hari ini.

Katanya PPVN akan menetapkan pengeluaran vaksin dalam dua fasa iaitu bagi jangka masa pendek yang akan mengambil masa satu hingga lima tahun, manakala jangka masa panjang mengambil masa lima hingga 10 tahun.

Adham berkata pembangunan vaksin itu bertujuan menghasilkan vaksin manusia untuk kegunaan dalam negara khususnya bagi kesemua vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai langkah siap siaga negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Ismail berkata kerajaan juga akan menyambung kontrak pakar penyelidik vaksin di universiti awam (UA) selama lima tahun lagi secara serta-merta, bagi yang tamat tempoh perkhidmatan.

“Langkah ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan kajian yang sedang dijalankan pakar dalam bidang berkaitan tidak terhenti separuh jalan atau disia-siakan.”