- Iklan -
Berita

Beberapa bahagian Umno Melaka tolak kerjasama dengan Bersatu

Menurut Ketua Bahagian Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi parti itu di Melaka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad (tengah) bercakap dalam sidang media hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad (tengah) bercakap dalam sidang media hari ini. Gambar: Bernama

Beberapa bahagian Umno di negeri ini menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti itu dengan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ketua Bahagian Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

“Keputusan yang kami buat adalah atas kehendak akar umbi. Ketetapan ini adalah yang terakhir kita buat. Maknanya kita tidak ada lagi perbincangan atau apa-apa pendekatan untuk bersama dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Umno Kota Melaka Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Bahagian Umno Hang Tuah Jaya Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Timbalan Ketua Bahagian Umno Alor Gajah Rosepandi Leman.

Dalam pada itu, Mohamad Ali juga mahu Umno memperkukuhkan Mufakat Nasional (MN) bersama PAS  bagi menghadapi PRN berkenaan.

“Jadi saya menyeru kepada semua ahli Umno dan PAS untuk kita bersama-sama dalam usaha memenangi PRN Melaka pada kali ini bagi kebaikan rakyat keseluruhan di Melaka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Empat Adun berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).