- Iklan -
Berita

70% kempen PAS di PRN Melaka guna media sosial

Langkah itu diambil bagi menghadapi kemungkinan SPR dan MKN mengeluarkan prosedur operasi standard yang tidak membenarkan kempen pilihan raya konvensional.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Bangunan ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

PAS akan melaksanakan 70 peratus kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui media sosial, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri besar Kedah itu berkata langkah itu diambil bagi menghadapi kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka yang tidak membenarkan kempen konvensional seperti ziarah rumah ke rumah dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19.

”Baki 30 peratus lagi ialah kempen konvensional yang mungkin melibatkan ziarah tetapi saya yakin ziarah kita tidaklah lagi semeriah dulu atas alasan pandemik Covid-19, jaga SOP dan kita pun nak elak daripada petugas kita menanggung risiko atau pun menjadi penular wabak ini, jadi kita aktifkan media sosial,” katanya semasa melancarkan Jentera PAS PRN Melaka secara maya malam tadi.

Mengulas kerusi yang akan ditandingi PAS pada PRN itu, beliau mengulangi kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa rundingan membabitkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai Bersatu dan Gerakan, masih berlangsung.

”Kita ada landasan yang telah dirintis oleh para pimpinan… kita ada PN, MN dan sekarang ini (kita) sedang berunding supaya kita hanya ada dua penjuru sahaja dalam PRN Melaka. Kita harap rundingan ini berjaya dan inilah yang sedang kita usahakan,” katanya.

SPR menetapkan tarikh penamaan untuk PRN Melaka pada 8 November diikuti undi awal pada 16 November dan mengundi pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.