- Iklan -
Berita

Majlis Syura PAS mahu pertandingan 2 penjuru untuk kalahkan PH dalam PRN Melaka

Ketetapan itu tampil ketika Umno dan Bersatu yang merupakan sekutu PAS bakal bertembung dalam PRN pada 20 November akan datang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Hubungan Umno dan PAS mula terjalin erat ketika mereka bersama menjadi pemangkang ketika era Pakatan Harapan menjadi kerajaan.
Hubungan Umno dan PAS mula terjalin erat ketika mereka bersama menjadi pemangkang ketika era Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Majlis Syura PAS menetapkan parti itu untuk bertanding secara dua penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang kedua-duanya merupakan sekutu parti Islam itu dijangka bakal bertembung.

Gesaan Majlis Syura yang merupakan badan dalaman yang berpengaruh dalam PAS terdiri daripada barisan ulama kanannya, dibuat selepas pemimpin Umno dan Bersatu yang merupakan parti terbesar dalam gabungan BN dan PN berkata calon mereka bersedia bertanding tiga penjuru di mana penganalisis menjangka ia bakal menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Susulan mesyuarat hari ini, majlis itu berkata pihaknya menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan strategi parti bagi menafikan kemenangan memihak kepada PH.

“Ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan perlembagaan PAS, Fasal 84.”

PAS adalah sebahagian daripada gabungan PN yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Dalam masa yang sama, parti itu turut memeterai piagam permuafakatan dengan Umno yang dinamakan Muafakat Nasional ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang sewaktu PH memegang tampuk pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun momentum Muafakat Nasional dilihat mengendur selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya menentang Bersatu, sehingga menyebabkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin digulingkan pada Ogos lalu.

PRN Melaka dicetuskan empat Adun negeri itu yang menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri – bekas ketua menteri Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Pada 29 Oktober, Umno berkata ia akan meneruskan kerjasama dengan PAS dalam menghadapi PRN tersebut.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan tersebut adalah selari dengan keputusan perhimpunan agung parti itu tahun lalu yang mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Sementara itu, pada 30 Oktober, Bersatu berkata pihaknya memahami keputusan untuk tidak bekerjasama tersebut.

Melaka merupakan antara kubu kuat Umno yang gagal dipertahankan sewaktu BN kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 lalu.