- Iklan -
Berita

Sarawak hargai Putrajaya peruntuk dana pembangunan RM4.6 bilion dalam Belanjawan 2022

Menurut Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, dana itu dan peruntukan RM7 bilion kerajaan negeri cukup bagi usaha pembangunan negeri.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di Lawas hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di Lawas hari ini. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan berikutan pengumuman peruntukan RM4.6 bilion dalam Belanjawan 2022 bagi pembangunan infrastruktur negeri tersebut.

Beliau berkata, walaupun jumlah tersebut tidak cukup bagi Sarawak menyaingi pembangunan di semenanjung, namun peruntukan tersebut boleh dimanfaatkan bagi membangunkan negeri dengan tambahan peruntukan RM7 bilion daripada kerajaan Sarawak.

“Ini bermakna tahun depan, 2022, kita akan ada peruntukan RM11 bilion bagi pembangunan Sarawak.

“Bukan nak menunjuk-nunjuk peruntukan bagi pembangunan, tetapi kerajaan negeri beri peruntukan lebih tinggi bagi pembangunan negeri. Kita peruntuk RM7 bilion sementara kerajaan pusat beri RM4.6 bilion,” katanya dalam di sebuah acara pecah tanah di Lawas.

“Ini tidak bermakna kita mahu bersaing (dari sudut jumlah peruntukan),” katanya.

“Ia bermaksud, wujud kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.”

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong kedua-dua bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan penggantinya Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan GPS akan terus kekalkan keamanan dalam negeri dan meneruskan pembangunan,” katanya.

“Saya fikir kedua-dua pemimpin ini berjaya merapatkan jurang kepimpinan antara Sabah, Sarawak dan semenanjung.

“Bagi GPS, kita hendakkan PM yang stabil dan boleh bantu kita. GPS sokong Muhyiddin dan Ismail kerana semangat kekeluargaan untuk bangunkan negeri kita.”