- Iklan -
Berita

Kelas menengah tercicir dalam Belanjawan 2022?

Pakar ekonomi berkata tidak banyak peruntukan disalurkan kepada kumpulan tersebut walaupun mereka setia membayar cukai.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menonton ucapan Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat semalam.
Seorang lelaki menonton ucapan Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Walaupun Belanjawan 2022 adalah belanjawan terbesar sepanjang sejarah Malaysia, namun tidak banyak peruntukan disalurkan untuk manfaat kelas menengah atau kumpulan M40 sedangkan mereka adalah golongan pembayar cukai di negara ini, kata pakar ekonomi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata peruntukan belanjawan sebanyak RM332.1 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam meneruskan trend belanjawan sebelum ini yang memberi tumpuan kepada bantuan tunai bagi kumpulan B40 demi mengurangkan impak ekonomi yang dihadapi mereka akibat pandemik Covid-19.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata walaupun 10% daripada kumpulan itu dilaporkan jatuh ke dalam kategori B40, mereka tetap tidak diiktiraf dalam Belanjawan 2022.

“Ini kerana (dalam ucapan belanjawan) kita masih gunakan B40. M40 sebenarnya merupakan kumpulan yang paling terjejas dan sering diabaikan walaupun mereka kumpulan pembayar cukai yang setia,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mereka perlu diambil kira mungkin tidak dalam bantuan tunai, tapi sekurang-kurangnya perlepasan cukai yang mencukupi atau pengurangan beban hidup.”

Katanya, M40 berdepan cabaran dengan peningkatan kos hidup dan harga barang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember tahun depan.

Bagi golongan B40, bantuan terbesar yang diterima tentunya Bantuan Keluarga Malaysia yang memperuntukkan RM2,000 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keadaan fasa pemulihan mungkin menyebabkan kerajaan beranggapan bahawa golongan pertengahan mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa memerlukan bantuan.

“Namun M40 perlu diberi perhatian kita menjangkakan walaupun negara berada dalam fasa pemulihan, harga barangan akan meningkat berikutan ‘bottleneck’ di peringkat bejalan.

“Dari segi kos sara hidup dan pemilikan rumah, ia masih menjadi isu utama bagi M40 yang mana kita masih tak nampak penyelesaiannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Barjoyai berkata, golongan lain yang ketinggalan dalam belanjawan kali ini ialah mereka yang kehilangan pendapatan namun tidak melaporkannya, seperti yang bekerja sendiri atau yang bekerja dengan peniaga mikro namun tidak berdaftar sebagai pekerja.

“Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak termasuk dalam statistik hilang pekerjaan. Semasa kerajaan umumkan bantuan RM500 kepada mereka yang hilang pekerjaan, jumlahnya hanya 900,000 orang.”

Justeru menurut Barjoyai, kerajaan wajar melabur untuk membina pengkalan data yang boleh diakses menggunakan telefon pintar.

Bagi Felo Kanan badan pemikir Ideas, Carmelo Ferlito, isunya bukan siapa mendapat apa, atau berapa banyak yang diperuntukkan kepada segmen tertentu, tetapi tindakan untuk meletakkan semula negara ke arah pemulihan jangka masa panjang.

“Belanjawan ini memberikan kelegaan sementara kepada isi rumah.

“Ada usaha untuk meningkatkan hasil perolehan cukai, namun caranya mungkin salah. Memperkenalkan cukai baru boleh merencatkan fasa pemulihan, pada masa yang sama tidak menyentuh keperluan untuk penstrukturan cukai yang lebih holistik,” katanya.