- Iklan -
Berita

PH guna logo sendiri pada PRN Melaka

PRN Melaka jadi medan ujian penerimaan logo PH.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Pakatan Harapan dari kiri: Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Pemimpin Pakatan Harapan dari kiri: Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November depan, kata Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

“Keputusan kita sebagai satu di ujian untuk PRN Melaka, kita sebulat suara untuk gunakan logo PH.

“Seluruh kekuatan PH iaitu Amanah, DAP dan PKR akan hanya menonjolkan logo PH,” kata presiden PKR itu pada sidang media bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Tambah Anwar, PH juga akan bertanding dengan satu manifesto bersama bagi PRN Melaka.

Sebelum ini PKR dilaporkan melobi pakatan itu untuk menggunakan logo parti tersebut seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila kesemua parti komponen PH menggunakan logo PKR.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga sebelum ini memaklumkan ingin bertanding PRN Melaka menggunakan logo PH, namun ia dibantah Angkatan Muda Keadilan Johor.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan DAP akan kekal bertanding di lapan kerusi, Amanah (9) dan PKR (11).

Selain itu, Anwar turut memaklumkan komposisi calon bagi kerusi Parlimen turut kekal dengan kerusi Alor Gajah dikembalikan kepada DAP selepas sebelum ini disandang Bersatu memandangkan ia merupakan kerusi tradisi parti tersebut.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali hilang kepercayaan majoriti Adun.

Empat wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah Adun Sungai Udang, Idris Haron, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).